KETUA Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris bersama pemain Negeri Sembilan ketika sesi latihan ringan di Padang Labu, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
KETUA Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Zan Mat Aris bersama pemain Negeri Sembilan ketika sesi latihan ringan di Padang Labu, Seremban. FOTO Adzlan Sidek
BERNAMA

PETALING JAYA: Juara Liga Super 2006, Negeri Sembilan yakin akan kembali beraksi di Liga Super tahun depan, selepas tersingkir ke Liga Perdana musim ini.

Pengurus pasukannya, Mohd Khairollah Abd Latif berkata, skuad diberi jolokan ‘Hobin Jang Hobin’ itu yang kini berada pada fasa terakhir persiapan, mampu meraih kedudukan dua teratas liga tahun ini, walaupun dibarisi pemain muda.

“Kita yakin dan percaya pemain muda kita ada semangat juang dan matang untuk capai sasaran kedudukan dua teratas Liga Premier. Bagi saingan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia, kita berharap pasukan akan dapat keputusan positif.

“Daripada segi pemain, kita sudah mengikat kontrak 21 pemain tempatan dan tiga pemain import, kini sedang menguji dua pemain dari Nigeria untuk melengkapkan pendaftaran pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis mengumumkan jenama sukan dari United Kingdom, Rhino Southeast Asia (Rhino SEA) sebagai penaja jersi Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini, hari ini.

Tiga pemain import itu ialah pemain tengah, Shunsuke Nakatake dari Jepun, serta dua pemain dari Brazil, Matheus Vila (bek tengah) dan Almir Neto yang boleh beraksi di bahagian sayap dan serangan.

Sebagai persiapan untuk menghadapi kempen liga, Negeri Sembilan yang kini di bawah kendalian Mohd Zan Mat Aris bakal mengharungi perlawanan persahabatan menentang Pahang di Temerloh, esok.

Mereka akan memulakan aksi pertama Liga Perdana menentang Sarawak di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pada 2 Februari ini.

Sementara itu, kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah bertekad untuk membawa balik kegemilangan pasukan Negeri Sembilan yang dulu digeruni lawan dan pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali.

“Saya bersyukur dan gembira untuk kembali bersama pasukan yang saya mulakan karier saya sebagai pemain profesional.

“Dengan nafas dan pengurusan baharu serta jurulatih berpengalaman seperti Mohd Zan dan hampir 80 peratus pemain muda, kita mampu mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan seperti era kami dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:02 PM