JOHANNA tewas kepada Garbine. FOTO/AFP
JOHANNA tewas kepada Garbine. FOTO/AFP
AFP

MELBOURNE: Pemain Britain, Johanna Konta menganggap perlawanan menentang Garbine Muruguza dalam aksi Terbuka Australia pada lewat malam semalam sebagai bahaya dan tidak baik untuk kesihatan.

Dia berkata mereka tidak sepatutnya beraksi sehingga ke awal pagi.

Johanna tersingkir dari kejohanan selepas tewas dalam aksi yang bermula pada jam 12.30 pagi dan tamat 3:12 pagi yang mengambil masa dua jam 42 minit.

Johanna yang jelas kelihatan letih tidak mahu situasi itu berulang kembali.

"Saya tidak bersetuju dengan atlet yang memaksa fizikal mereka bekerja keras pada awal pagi,” katanya kepada BBC selepas tewas 6-4, 6-7 (3/7), 7-5 pada pusingan kedua di tangan Garbine.

"Saya tak fikir ia sihat malahan agak berbahaya. Bagaimanapun, Garbine dan saya berada dalam situasi sama, kami mempamerkan permainan yang menarik tetapi malangnya penonton tidak dapat menikmatinya.”

Perlawanan terpaksa ditunda lewat apabila aksi perseorangan lelaki di antara Alexander Zverev dan Jeremy Chardy di gelanggang yang sama berakhir dalam masa tiga jam 46 minit.

Bagaimanapun menurut Johanna, penganjur cuba mengubah perlawanan mereka ke gelanggang lain tetapi ia agak kotor.

"Kami sebenarnya perlu ke gelanggang tiga tetapi terdapat najis burung camar merata tempat dan mereka perlu membersihkannya terlebih dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 12:05 PM