V Shem-Wee Kiong anggap Masters Malaysia cabaran sebenar. FOTO/NSTP
V Shem-Wee Kiong anggap Masters Malaysia cabaran sebenar. FOTO/NSTP
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyifatkan saingan Masters Malaysia yang bermula hari ini akan menjadi ujian sebenar mereka biarpun baru saja dinobatkan juara Masters Thailand, kelmarin.

Berikutan penyertaan hampir semua pasangan utama dunia pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 ini, saingan itu dianggap medan terbaik buat V Shem-Wee Kiong untuk membuktikan kemampuan sebenar selepas berdepan undian sukar kali ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan membuka tirai saingan di Axiata Arena Bukit Jalil menentang pasangan dari pusingan kelayakan, esok.

Jika menang, mereka akan bertemu sama ada bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia atau beregu berpengalaman Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae untuk aksi pusingan kedua.

Pilihan ketiga, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun dijangka menanti di suku akhir sebelum beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo diramal menjadi lawan di separuh akhir.

“Masters Malaysia boleh dikatakan kejohanan pertama yang disertai semua beregu utama dunia. Undian kami kali ini memang cukup sukar sejak pusingan awal lagi dan ia akan menjadi cabaran sebenar buat kami.

“Kami tidak mahu memikirkan mengenai kejuaraan diraih pada Masters Thailand kerana ia sudah berlalu. Fokus kami sekarang adalah Masters Malaysia dan ia akan menjadi kejohanan yang berbeza dan lebih mencabar.

“Namun, kejayaan di Masters Thailand permulaan yang baik untuk kami dan meningkatkan tahap keyakinan apatah lagi ia gelaran pertama kami selepas dua tahun,” kata Wee Kiong.

Walaupun kini sudah bergerak secara profesional tetapi Wee Kiong menegaskan dia dan V Shem tetap meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam setiap kejohanan disertai.

“Sudah pasti KPI kami adalah untuk menang setiap perlawanan. Biarpun kami kini bergerak secara profesional, KPI tetap penting,” katanya.

Bagaimanapun, Wee Kiong melahirkan sedikit kebimbangan kerana sehingga kini masih belum ada kata putus berhubung penajaan bagi membolehkan mereka meneruskan kerjaya sebagai profesional biarpun selepas menjuarai Masters Thailand.

“Buat masa ini semuanya masih di peringkat perbincangan dan belum ada kata putus. Saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” kata Wee Kiong.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:29 PM