AYUB selepas selesai mesyuarat di Majlis Sukan Negara. -Foto  HAFIZ SOHAIMI
AYUB selepas selesai mesyuarat di Majlis Sukan Negara. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR: “Kita hilang seorang dua atlet (kerana doping), tetapi kita ada 10 lagi atlet yang boleh ganti.”

Itu penjelasan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat ketika ditanya mengenai kes doping yang mencalar badan itu tahun lalu.

Sekali pun terpalit kontroversi, Ayub berkata badan induk angkat berat itu tidak begitu terkesan dalam permohonan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan program latihan bagi tahun ini.

“Alhamdulillah tak ada (terkesan kes doping). Dengan adanya penguatkuasaan doping dan atlet yang sudah kena doping, kita ada atlet yang ramai yang lebih berdisiplin dan berpotensi (bagi mengisi kekosongan yang ada),” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Ayub berkata PABM menyenaraikan ramai barisan atlet pelapis untuk di masukkan ke dalam program memandangkan mereka memiliki potensi untuk digilap.

“Sebab itu saya ingatkan atlet supaya lebih berdisiplin dalam angkat berat dan ikut peraturan. Kena ingat jangan anggap bila menang sesuatu pingat dalam Sukan Komanwel misalnya, kita adalah yang terbaik hingga meminggirkan tentang peraturan dan disiplin diri.

“Jadi apabila terjebak dalam kes doping, kita ada ramai boleh gantikan mereka. Ini satu ingatan kepada atlet kita dan yang sudah terkena penggantungan,” katanya.

Pada November lalu, lima atlet angkat berat digantung berikutan kesalahan doping termasuklah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Hafifi Mansor, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan tiga atlet pelapis - Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 12:02 AM