Zainal (kanan) akan uji Casagrande. FOTO NSTP
Zainal (kanan) akan uji Casagrande. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Pengendali Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan akan menguji sepenuhnya empat import baharu skuad itu sepanjang aksi pra musim di Vietnam, bermula berdepan Becamax Binh Duong FC, esok.

Luka Milunovic dan Darko Markovic dari Serbia, Anselmo Casagrande (Brazil) dan Jang Suk Won (Korea Selatan) dijangka akan bergandingan buat pertama kali untuk tempoh 90 minit, sepanjang berada di Ho Chi Minh sehingga 15 Januari ini.

Zainal berkata, semua pemain import itu akan membentuk tulang belakang skuad - bermula dengan Suk Won di posisi pertahanan, Markovic (tengah), manakala Milunovic dan Casagrande berperanan selaku penggempur.

"Keserasian dan persefahaman antara mereka amat penting dalam persediaan pasukan mengharungi Liga Malaysia musim ini.

"Pada tiga aksi persahabatan sebelum ini, semua pemain ini belum dapat beraksi bersama bagi tempoh 90 minit, kecuali pada pertemuan berdepan Warriors FC membabitkan 45 minit pertama.

"Jadi, saya akan menguji mereka di Ho Chi Minh kerana saya mahukan mereka pantas membentuk gandingan mantap sebelum liga bermula," katanya.

Katanya, pemain MU perlu menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk meningkatkan prestasi mereka kerana skuad tuan rumah juga dijangka akan menurunkan skuad terbaik.

"Saya mahu segala kelemahan yang berlaku ketika perlawanan berdepan Selangor United, Negeri Sembilan dan Warriors FC segera diperbaiki kali ini," katanya.

Selain Becamax Binh, MU dijadualkan berdepan Sai Gon FC pada 13 Januari dan Ho Chi Minh City (15 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 4:12 PM