SAMIR NASRI
SAMIR NASRI
AFP

LONDON: Bekas pemain kebangsaan Perancis, Samir Nasri kembali dalam kancah bola sepak susulan hukuman penggantungan doping dengan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham.

Nasri akan bergabung semula dengan pengurus West Ham, Manuel Pellegrini selepas bersetuju dengan kontrak hingga hujung kempen ini dengan pilihan untuk melanjutkannya.

Ia bukan kali pertama dia bekerja di bawah kendalian pengendali dari Chile itu selepas satu daripada dua gelaran Liga Perdana dimenangi Nasri ketika di Manchester City hadir sewaktu tempoh kerjasama itu.

“Akhirnya saya kembali beraksi dalam liga paling kompetitif di dunia dengan pasukan yang bercita-cita tinggi dan juga pengurus yang saya kenali… saya amat teruja,” kata Nasri.

Nasri, 31, bebas untuk beraksi bermula hari ini selepas dikenakan penggantungan sejak Februari lalu ketika beraksi buat kelab Turki, Antalyaspor kerana didapati mengambil perangsang multi vitamin yang melanggar peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Pada awalnya dia hanya dikenakan penggantungan enam bulan tetapi dilanjutkan kepada 18 bulan oleh UEFA, namun sebutan tarikh hukuman itu bermula 1 Julai 2017.

“Dia pemain yang saya amat kenali sejak waktu bersama di Manchester City dan saya gembira untuk sekali lagi bekerjasama dengannya,” kata Pellegrini.

“Dia bekerja keras di sini sejak beberapa minggu lalu untuk meningkatkan tahap kecergasannya selepas lama tidak bermain dan kini dia begitu bersemangat untuk beraksi semula.”

Bekas bintang City dan Arsenal itu pernah membuat 41 kemunculan buat Perancis sebelum menggantung but di peringkat antarabangsa pada 2014, hanya ketika berusia 27 tahun susulan tidak berpuas hati dengan keputusan Didier Deschamps mengetepikannya daripada skuad Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 7:59 AM