PEMAIN Spurs kecewa selepas tewas mengejut kepada Wolves 1-3. FOTO Reuters
PEMAIN Spurs kecewa selepas tewas mengejut kepada Wolves 1-3. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Mauricio Pochettino menyatakan Tottenham bermain sepenuh hati tetapi tidak menggunakan akal selepas kelab kendaliannya mensia-siakan peluang meningkatkan tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana, Liverpool susulan kekalahan mengejut 1-3 kepada Wolves, malam tadi.

Deretan lima kemenangan berturut-turut liga digabungkan dengan kejatuhan Manchester City menyaksikan Spurs merampas kedudukan kedua liga, ketinggalan enam mata di belakang Reds menuju perlawanan hujung minggu ini.

Namun kelab London itu - yang menjaringkan 11 gol dalam dua tempoh musim perayaan - dipalit kekecewaan selepas gagal merakam kemenangan keenam sekalipun penyerang, Harry Kane terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan pada babak pertama.

Aksi babak kedua berlangsung sebaliknya apabila Spurs tampak kehilangan fokus dan pelawat yang tidak kenal erti kalah bangkit menerusi gol sumbangan Willy Boly, Raul Jimenez dan pemain gantian Helder Costa.

“Saya fikir kami dapat mengawal permainan babak pertama,” kata Pochettino. “Mungkin ia lebih mudah daripada yang kami jangkakan pada babak pertama untuk mendominasi permainan dan bermain dengan amat mudah.

“Mereka menampilkan corak bertahan, mengejar kami. Kami juga tidak melengkapkan satu peluang. Tapi pada babak kedua, saya fikir kami mula berfikir perlawanan sudah berakhir dan apabila anda berasa sebegitu, sukar buat anda bermain dengan cara sendiri.

“Anda mula menggunakan jalan yang salah, mula bermain bola hantaran panjang terlalu banyak dan bermain dengan hati berbanding kepala. Kami mula menghabiskan banyak tenaga.

“Tidak mencukupi untuk sekadar bermain selama 60, 70 minit. Anda perlu memberikan yang terbaik selama 95 minit. Seperti hari ini, kami mensia-siakan tenaga dan fokus dan pada 20 minit terakhir kami melepaskan tiga gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:54 AM