SALAH (jersi merah) terlepas daripada tindakan FA. FOTO/AGENSI
SALAH (jersi merah) terlepas daripada tindakan FA. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah tidak berdepan tindakan daripada Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) susulan insiden yang menyaksikannya memperoleh penalti ketika kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United, pada aksi Boxing Day lalu.

Salah didapati rebah dengan mudah bagi mendapatkan penalti selepas bahunya disentuh pertahanan Newcastle, Paul Dummett dan bos Magpies Rafael Benitez melabel penalti itu sebagai kesilapan.

Keputusan itu juga bermakna pemain kelahiran Mesir itu boleh disenaraikan Reds bagi perlawanan Liga Perdana penting menentang Arsenal dan Manchester City selepas ini.

Benitez berkata: “Penalti yang ‘lembut’ dalam perlawanan menjadi perbezaan, kami ketika itu ketinggalan 0-1 selepas babak pertama, tetapi apabila kami melepaskan gol kedua, ia menjadi lebih sukar untuk kami menentang pasukan yang baik.

“Gol kedua itu adalah penting, ia memberikan mereka lebih keyakinan dan memberikan kami lebih kesukaran, kamu perlu mengambil lebih banyak risiko, menjadi lebih terbuka dan kemudian melakukan kesilapan dan perlu membayarnya.”

Begitupun, FA mengesahkan insiden pada babak kedua itu tidak menyalahi peraturan badan induk itu dan tidak boleh didakwa atas tuduhan cuba menipu pegawai perlawanan.

Salah sebelum ini berisiko untuk dikenakan penggantungan dua perlawanan atas tuduhan sengaja merebahkan badan tetapi dia kini bebas untuk diturunkan bagi aksi penting menentang Gunners, awal pagi Ahad ini selain penyandang juara, City.

Bekas pengadil Liga Perdana, Mark Halsey berkata kepada akhbar England Mo Salah harus dikenakan penggantungan dua perlawanan jika simulasi yang dibuatnya adalah konsisten dengan badan induk itu perlu bertindak kerana ia sering berlaku terhadap liga berkenaan.

Salah sudah mengumpul 12 gol musim ini dan ketinggalan satu jaringan di belakang penjaring terbanyak,  Pierre-Emerick Aubameyang.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 9:27 PM