Abdul Arif sah menyertai skuad The Red Warriors (TRW) mengharungi Liga M musim hadapan. - Foto Ihsan KAFA
Abdul Arif sah menyertai skuad The Red Warriors (TRW) mengharungi Liga M musim hadapan. - Foto Ihsan KAFA
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Bekas penjaga gol Yala United FC dari Liga Thai, Abdul Arif Abdullah, sah menyertai skuad Kelantan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Profil Abdul Arif sebelum sertai TRW. Profil Ihsan KAFA
Profil Abdul Arif sebelum sertai TRW. Profil Ihsan KAFA

Pengesahan itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, yang mengharapkan kehadiran Abdul Arif menggantikan Faridzuean Kamaruddin mampu membantu mengukuhkan gawang pasukan itu. 

"Abdul Arif sah bersama The Red Warriors (TRW) dan saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan seorang lagi penjaga gol untuk menyarung jersi pasukan negeri ini.

"KAFA bersetuju mengikat kontrak (Arif) selama setahun dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk bersaing merebut kedudukan dalam kesebelasan utama pemain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani mengakui Abdul Arif, 24, yang juga bekas pemain skuad Piala Presiden dan berasal dari Rantau Panjang dilihat mampu memperkasa gawang TRW musim depan.

"Pengalamannya dengan kelab Divisyen Satu Liga Thailand seperti Buriram United secara pinjaman diharap mampu melonjakkan kembali prestasi pasukan negeri ini," katanya.

Untuk rekod, Abdul Arif, anak jati Rantau Panjang yang juga bekas pemain pasukan Yala United FC (2013 dan 2018), The President Warriors (2014), PT Parchuap FC(2016-2017) dan Buriram United (2017) mempunyai reputasi dan pengalaman luas dalam kancah saingan Divisyen Satu dan Dua Liga Thai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 2:35 PM