POUILLE akhirnya akui punyai kelebihan beraksi di gelanggang tanah liat. FOTO/AFP
POUILLE akhirnya akui punyai kelebihan beraksi di gelanggang tanah liat. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kapten Piala Davis Perancis, Lucas Pouille mengakui dia mempertikaikan keputusan penganjur memilih untuk melangsungkan perlawanan akhir tenis berpasukan itu di atas gelanggang tanah liat. 

Perancis yang mahu mengekalkan kejuaraan akan turun berdepan Croatia pada penghujung minggu ini di gelanggang tanah liat di Stade Pierre Mauroy, Lille di mana mereka memenangi perlawanan akhir tahun lalu menentang Belgium.

"Pada mulanya, ia tidak jelas. Saya tidak begitu bersetuju dengan gelanggang tanah liat," kata Pouille mengetuai pemain Perancis yang kehilangan tiga tonggak perseorangan utama, Richard Gasquet, Gilles Simon dan Gael Monfils.

"Pada hujung tahun begini, tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan permukaan itu dalam tempoh dua atau tiga minggu. Ia akan mengundang risiko kecederaan disebabkan keletihan." 

Pemain berusia 24 tahun yang menduduki ranking ke-32 dunia itu akhirnya menyokong pandangan ketua pasukan Perancis, Yannick Noah yang berasakan pemain Crotia lebih lemah di gelanggang tanah liat berbanding gelanggang keras. 

"Akhirnya mereka membuat pilihan terbaik," kata Pouille.

"Kami berjaya membuat persediaan yang berkualiti berbanding kuantiti. Saya berpendapat ia adalah permukaan terbaik untuk kami jika kami ingin menang." 

Tanpa tiga pemain utama Perancis, Noah kini bergantung kepada Pouille dan Jo-Wilfried Tsonga yang baru pulih daripada kecederaan dan Nicolas Mahut dalam acara perseorangan.

Manakala Pierre-Hugues Herbert dan Jeremy Chardy akan bergandingan dalam acara beregu. 

Pasukan Croatia akan dibarisi pemain nombor tujuh dunia, Marin Cilic dan Borna Coric yang kini menduduki ranking ke-12 dunia. Kedua-duanya beraksi di ATP Masters di London, minggu lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:27 AM