JAMES RODRIGUEZ
JAMES RODRIGUEZ
AFP

BERLIN: Pemain tengah Colombia James Rodriguez dijangka tidak dapat beraksi sepanjang tahun ini selepas dia menyertai senarai kecederaan Bayern Munich apabila ligamen lututnya cedera ketika latihan.

Rodriguez adalah pemain tengah keempat dalam skuad juara Jerman itu yang terpaksa direhatkan selepas Thiago Alcantara, Corentin Tolisso, Kingsley Coman dan Arjen Robben.

“Jelas sekali ini berita buruk. James adalah pemain yang sangat penting, di mata saya dia adalah yang terbaik, minda yang kreatif, dan kami tidak mempunyai pemain lain sepertinya,” kata penyerang Bayern Sandro Wagner.

Lutut pemain 27 tahun itu akan dipasang pendakap untuk tempoh 10 hari dan kemudian akan menjalani fisiterapi dan rehabilitasi, Bayern mengesahkan tanpa memberikan tarikh kepulangannya.

Sukar untuk Rodriguez kembali beraksi pada baki saingan tahun ini dengan cuti musim sejuk Bundesliga akan bermula pada 23 Disember.

Ketiadaan Rodriguez memberi tamparan hebat buat Bayern yang masih bergelut mendapatkan aksi konsisten musim ini.

Skuad kendalian Niko Kovac sudak tewas tiga daripada enam perlawanan liga terakhir mereka dan tergelincir ke tangga kelima liga selepas kekalahan 3-2 di Borussia Dortmund Sabtu lalu serta ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu itu.

 

Rodriguez, penjaring terbanyak di Piala Dunia 2014 dan dipinjamkan oleh Real Madrid sehingga akhir musim ini, berada pada prestasi terbaik dengan jaringan-jaringan penting ketika merakam kemenangan ke atas Bayer Leverkusen, Schalke dan Wolfsburg.  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:01 AM