PENYOKONG Terengganu tenang selepas tamat perlawanan. FOTO/NSTP
PENYOKONG Terengganu tenang selepas tamat perlawanan. FOTO/NSTP
Baharom Bakar


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan dakwaan mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan semula perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil berkata, isu itu tidak disentuh atau dibincangkan dalam mesyuarat penyediaan pasukan tahun depan yang diadakan di pejabat PBSNT, petang semalam.

Katanya, mesyuarat petang semalam yang dipengerusikan Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, hanya menyiapkan laopran 'bedah siasat' mengenai kelemahan dalam perlawanan akhir itu yang perlu diperbaiki, termasuk isu membabitkan pengadil, Suresh Jayaraman.

"Tak betul. Bila pula kita hantar surat mendesak FAM adakan perlawanan semula. Yang kita bincang dan buat dalam mesyuarat semalam hanya siapkan laporan mengenai cadangan penambahbaikan termasuk saranan pemilihan pengadil berkualiti untuk perlawanan penting seperti Piala Malaysia, supaya masalah sama tidak berulang.”

"Laporan itu yang turut memperincikan ketidakpuasan hati terhadap beberapa kesilapan dibuat pengadil ketika perlawanan itu sudah dihantar kepada FAM pagi tadi untuk penambahbaikan bagi perlawanan bola sepak berprestij musim depan," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular menyatakan PBSNT memutuskan mendesak FAM supaya mengadakan perlawanan semula Piala Malaysia membabitkan TFC dan Perak.

Tengku Farok berkata, walaupun keputusan pengurusan PBSNT untuk tidak mengemukakan bantahan akan dikecam penyokong bola sepak di negeri ini, pihaknya berpendapat bantahan tidak akan mengubah keputusan.

"Sekali lagi saya sahkan kita tidak membuat sebarang desakan meminta FAM adakan perlawanan semula seperti didakwa dan ditularkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 9:53 PM