STERLING bakal galas tugas robek gawang Burnley. FOTO/AGENSI
STERLING bakal galas tugas robek gawang Burnley. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Raheem Sterling akan kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris untuk membantu Manchester City menentang Burnley, esok selepas menamatkan kemarau gol di pentas antarabangsa dengan penuh bergaya.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik perhatian bagaimana City mahu menawarkan pakej terbaik untuk mengikat pemain berusia 23 tahun ini dengan kontrak jangka panjang, bagi memastikan dia terus kekal di Etihad.

Penyerang City itu meledak dua gol ketika membantu England mencipta kejutan menumbangkan Sepanyol 3-2, dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, di Seville, Isnin lalu.

Perkembangan itu menyaksikan pengendali City, Pep Guardiola sukar untuk memberi jaminan Sterling akan kekal selepas timbul spekulasi dia akan berpindah ke Real Madrid.

Kontrak Sterling bersama City bakal tamat pada akhir musim depan dan setakat ini, tiada kata sepakat dicapai mengenai perjanjian baharu antara juara Liga Perdana dan pemain berkenaan.

Nilai kontrak sepatutnya Sterling meningkat selepas City membayar hampir 50 juta pound (RM270.9 juta) kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya tiga tahun lalu, namun ia akan semakin berkurangan setiap minggu selepas dia semakin hampir menjadi agen bebas, pada 2020.

Sebelum menjaringkan gol untuk membantu skuad muda Gareth Southgate, minggu ini, kali terakhir Sterling meledak gol antarabangsa ialah pada Oktober 2015, sekali gus mengundang kritikan peminat England mengenai keupayaannya di depan gol.

Namun, City pantas mempertahankan pemainnya itu yang berjaya menjaringkan 22 gol dalam 40 penampilannya dalam perlawanan Liga Perdana.

Jika ditanya kepada kelab peminat mengenai sifat peribadi Sterling, mereka akan bercakap mengenai kerja amal yang dilakukannya selepas dia dilihat menghulurkan sumbangan membantu mangsa kebakaran Menara Grenfell Tower, tahun lalu.

Namun, penyokong akur Sterling memang menyimpan cita-cita untuk beraksi bersama Real Madrid, kelab yang dianggap paling sesuai untuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:19 PM