SUMAREH  berhijrah dari Gambia pada 2004 ketika berusia 13 tahun. FOTO/FAIL
SUMAREH berhijrah dari Gambia pada 2004 ketika berusia 13 tahun. FOTO/FAIL
Farah Azharie


PEMAIN naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh berkata dia mahu membalas jasa Malaysia yang memberi kerakyatan kepadanya sejak berhijrah dari Gambia pada 2004 ketika berusia 13 tahun.

Bekas penuntut Sekolah Antarabangsa Maz dan Kolej Segi itu merasakan dia banyak terhutang budi kepada negara ini dan atas dasar itulah dia berbesar hati menyahut panggilan Harimau Malaya walaupun keputusannya itu dianggap sebagai tidak popular di negara asalnya Gambia.

"Jurulatih kebangsaan (Gambia) selalu menyokong karier saya dan beliau tidak berang dengan keputusan ini. Memang terdapat persoalan mengapa saya tidak memilih beraksi untuk negara sendiri, tapi Malaysia. Jawapannya adalah kerana saya bangga untuk menyatakan negara ini sebagai rumah saya," kata Sumareh.

Selepas berita dia diserap ke dalam skuad Harimau Malaya tersebar luas, Sumareh yang pernah beraksi untuk Steve Biko FC sebelum menyertai PDRM pada 2013 mengakui kehidupannya bertukar 360 darjah.

"Saya merasakan lebih tertekan kerana orang kini lebih mengenali saya apabila berada di tempat awam dan ada yang menjelaskan sudah tidak sabar untuk melihat aksi saya.

"Jadi, saya perlu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya boleh beraksi baik. Ia adalah gila," katanya.

Ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan isu kerakyatannya, pemain sayap Pahang itu merasakan ia sengaja diperbesarkan bagi menjatuhkan kariernya.

"Semuanya OK (dari segi kerakyatan), hanya ada satu media yang tidak memahami sangat mengenainya dan sengaja mahu menjatuhkan saya.

"Saya gembira, seluruh negara gembira. Jadi, mengapa pihak media itu sengaja mahu menjatuhkan saya?"

Sumareh ketika ini sedang berada di Melaka bagi mengkuti kem latihan pasukan kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:51 PM