Syed Saddiq. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Syed Saddiq. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau akan membuat penilaian teliit selepas wujud dakwaan berlaku unsur ketirisan membabitkan kontraktor yang dilantik dengan kos RM85 juta bagi membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

"Saya sendiri akan nilai dan lihat, kalau perlu pengauditan kita kena buat dan kalau perlu siasatan kita akan maklumkan kepada SPRM," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog NFDP bersama penyokong bola sepak tanah air di Majlis Sukan Negara (MSN), malam tadi.

"Saya serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu Lim Teong Kim (Pengarah AMD), dia kata benda sama iaitu (pusat latihan) perlukan penambahbaikan, bila jumpa barisan kejurulatihan pun mereka luahkan perkara sama.

"Ketika kita melihat AMD sebagai pusat latihan terbaik yang setaraf dengan akademi Bayern Munich, Jepun dan Korea Selatan, tetapi pada masa sama perkara asas masih belum mencukupi.

"Kita sibuk membincangkan isu yang besar, tetapi perkara asas seperti bola pun tak cukup walaupun dah dijanjikan sebelum ini.

“Perkara ini perlu diselesaikan dahulu kerana jika tidak diselesaikan, kita campak duit banyak mana pun ia tak akan pergi jauh, integriti adalah nombor satu," katanya.

Terdahulu, beberapa peminat bola sepak tanah air yang hadir pada sesi dialog turut membangkitkan perkara sama selain meminta Syed Saddiq membuat audit mengenai segala peruntukan yang diberikan untuk NFDP.

Malah, Syed Saddiq ketika menjawab soalan yang dilontarkan oleh peminat berjanji akan membuat siasatan hingga ke lubang cacing berhubung dana RM85 juta untuk pembangunan pusat latihan berkenaan.

"Kemudahan lain seperti televisyen dan internet pun tiada, aspek pemakanan juga tidak disediakan dengan baik. Malah saya difahamkan pegawai fisioterapi pun tiada.

"Saya sudah bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mereka akan beri panduan sepenuhnya selepas ini. Tapi pada masa sama masalah yang dihadapi adalah tempat untuk menempatkan pegawai ini kerana kira-kira enam pegawai ISN akan diletakkan di AMD selepas ini.

"Takkanlah tiada tempat untuk pegawai ISN di sana. Perkara ini akan saya siasat hingga ke lubang cacing, RM85 juta sudah dibelanjakan, ini bukan duit tahunan, ini untuk membangunkan tempat berkenaan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 4:04 PM