Reuters

London: Masa depan penyerang Liverpool, Daniel Sturridge (gambar) di kelab Merseyside itu akan dikaji semula hujung musim ini, menurut pengurus Juergen Klopp.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang tidak menyumbat gol dalam tujuh penampilan terakhir, bergelut dengan kecederaan dan menurut laporan media, mungkin menjadi potensi utama pemain yang akan meninggalkan Anfield.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku pada musim panas ini. Bukan hanya Daniel tapi pemain lain juga,” kata Klopp.

“Kami akan membuat keputusan dan bercakap mengenai Daniel dan pemain lain mengenai apa yang akan berlaku hujung musim ini. Banyak aspek mempengaruhi perkara ini dan kami boleh bercakap mengenainya bila tiba masanya.

“Kami perlu mengembalikannya semula ke tahap sebaik mungkin dan menamatkan musim ini dengan kejayaan. Daniel tidak berlatih selama lapan atau sembilan hari kerana jangkitan virus.”

Liverpool, yang hanya meraih satu kemenangan dalam Liga Perdana pada 2017, menyaksikan cabaran kejuaraan mereka semakin layu apabila merudum ke tangga kelima, 14 mata di belakang pendahulu Chelsea dengan baki 12 perlawanan.

Liverpool mungkin turun tanpa kapten Jordan Henderson, yang kini mengalami kecederaan kaki, apabila mereka menanti kunjungan pasukan tangga keempat Arsenal awal pagi Ahad ini dalam pertembungan genting merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

“Kelihatannya dia (Henderson) tidak bersedia untuk Arsenal. Kami akan pantau keadaannya,” ujar Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:23 AM