PEMAIN Liverpool melalui saat kecewa yang teruk ketika tewas kepada Real di pentas akhir Liga Juara-Juara lalu. FOTO/LIVERPOOL
PEMAIN Liverpool melalui saat kecewa yang teruk ketika tewas kepada Real di pentas akhir Liga Juara-Juara lalu. FOTO/LIVERPOOL
Agensi

LONDON: Kekalahan Liverpool pada final Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid mengubah ‘aura’ kelab itu, menurut bekas pemainnya, John Aldridge yang percaya Reds kini tergolong dalam kelompok elit.

Tidak ramai menjangkakan skuad kendalian Juergen Klopp akan menempuh kempen menakjubkan di kancah Eropah musim lalu tatkala kempen mereka bermula di peringkat playoff.

Begitupun, sesuatu yang menarik berlaku apabila mereka muncul pasukan yang mara ke final di Kiev, Ukraine ketika beberapa calon pilihan seperti Manchester City, Barcelona dan AS Roma tersingkir.

Tiada penamat yang indah apabila kelab gergasi Sepanyol, Real menjulang trofi keagungan itu buat tahun ketiga berturut-turut tetapi Liverpool menunjukkan ia bukan sesuatu yang mustahil.

Prestasi positif itu diteruskan pada kempen ketika ini dengan Reds sudah mengharungi tujuh kemenangan berturut-turut dan ia menjana ‘faktor gerun’ kepada lawan bagi pemburuan kejayaan musim ini.

“Ada perubahan ketara dapat dilihat dari sudut mentaliti Liverpool yang dikendalikan Klopp musim ini dan ia tidak semata-mata bergantung kepada pembelian baik yang mereka lakukan tahun lalu,” kata Aldridge yang sebelum ini menjana serangan Reds pada era 80-an.

“Saya melihat bagaimana pasukan itu meneruskan perjalanan mereka sekalipun pada pandangan saya, mereka masih belum berada di prestasi terbaik. Mereka pasukan yang mempunyai kepercayaan sekali gus membuatkan mereka bersedia untuk pergi ke tahap berikutnya.

“Liverpool mungkin tewas pada final Liga Juara-Juara kepada Real di Kiev, Mei lalu dan setiap orang yang menyayangi kelab itu berasa kesakitannya tapi perjalanan di pentas elit Eropah mengubah aura persekitaran pasukan ini menjadi lebih baik.

“Pemain kini percaya mereka antara yang terbaik, mereka dijangka mencabar trofi utama dan paling penting, pasukan lawan sudah mula bimbang terhadap mereka.”

Liverpool ketika ini mengukuhkan momentum pasukan yang dibina musim lalu dengan mengeluarkan belanja besar pada musim panas ini terutama bagi menguatkan jentera pertahanan.

Mengulas pertembungan dengan Chelsea bagi aksi pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi Khamis ini, Aldridge berkata, kelemahan Reds sebelum ini tidak memiliki pemain gantian yang setara sudah diatasi.

“Mereka kini nampak begitu kuat dan ia memberikan Klopp peluang sebenar untuk memburu kejuaraan piala di pentas domestik selain Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:37 AM