CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo mengalih semula fokusnya untuk membantu Juventus menjulang tiga kejuaraan musim ini selepas kecundang dalam pemburuan anugerah Pemain Terbaik Dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu tidak menghadiri majlis anugerah di London, awal pagi tadi ketika bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric dinobat sebagai pemenang.

Bintang Portugal berusia 33 tahun itu juga tewas bagi anugerah gol tercantik Puskas kepada penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Dia dicalonkan bagi anugerah Puskas menerusi sepakan gunting menariknya ketika pertembungan membabitkan Real dan Juventus dalam kempen Liga Juara-Juara musim lalu yang mendapat pujian melangit daripada penyokong kelab gergasi Itali itu di Turin.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri menyokong Ronaldo - yang sudah menjaringkan tiga gol dalam aksi terakhir Serie A - bagi anugerah itu kerana dia mengetuai Real menjulang kejuaraan ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara sambil menyumbat 15 gol.

“Tanpa memperkecilkan Luka Modric, saya memberikan anugerah Ballon d’Or kepada Ronaldo atas apa yang dilakukannya musim lalu. Saya fikir dia layak,” kata Allegri.

Juara Itali, Juventus akan mengharungi minggu yang sibuk di Turin apabila perlu berdepan tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.

Selepas aksi menentang kelab di tangga ke-18 liga, Bologna esok, Juventus dijadual bertemu kelab kendalian Carlo Ancelotti, Napoli Sabtu ini.

Juventus mengharungi permulaan sempurna musim ini apabila meraih lima kemenangan daripada lima perlawanan untuk mengumpul 15 mata, tiga mata di depan Napoli.

Selain kempen domestik, skuad kendalian Allegri juga dijadual bertemu kelab Switzerland, Young Boys dalam kempen Liga Juara-Juara minggu depan tetapi tanpa kelibat Ronaldo susulan layangan kad merah di Sepanyol, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:55 AM