PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford. FOTO Agensi
PEMAIN Manchester United, Marcus Rashford. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Marcus Rashford dilihat bersedia untuk berada dalam senarai kesebelasan Manchester United apabila pasukan kendalian Jose Mourinho memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka, awal pagi Khamis ini.

Penyerang berusia 20 tahun itu berada di pertengahan penggantungan tiga perlawanan domestik namun bebas untuk beraksi pada  peringkat kumpulan menentang Young Boys di Switzerland.

Selepas Rashford meledak gol dalam dua aksi antarabangsa England minggu lalu, Mourinho mungkin akan mengambil kira penyertaannya dalam kesebelasan utama di Bern. Kepantasan pemain muda itu tampak menjadi aset berguna mereka di Stade de Suisse.

Alexis Sanchez dalam pada itu masih belum menjaringkan gol musim ini dan mungkin posisinya terancam.

Sebelum United menang di Watford Sabtu lalu, Mourinho membalas kritikan yang dilemparkan kepadanya apabila tidak menyenaraikan Rashford secara lebih kerap.

Rashford disenaraikan ketika perlawanan pembukaan musim United bertemu Leicester, tampil dari bangku simpanan pada perlawanan menentang Brighton dan Burnley, menjadi pemain simpanan yang tidak digunakan ketika menentang Tottenham dan terlepas aksi bertemu Watford kerana menjalani penggantungan pertamanya susukan menerima kad merah di Turf Moor.

Luke Shaw, yang juga terlepas kunjungan ke Vicarage Road kerana kecederaan kepala ketika beraksi mewakili England, mungkin akan tampil menentang pendahulu liga Switzerland - pasukan yang dianggap Juan Mata tidak boleh dipandang remeh.

Juara Switzerland itu menyertai Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas kali terakhir 32 tahun lalu.

“Menjadi satu kesilapan besar sekiranya memandang rendah kemampuan mereka hanya kerana mereka bukan nama besar berbanding pasukan lain dengan kelab besar (Juventus dan Valencia) juga berada dalam kumpulan kami,” kata Mata.

“Young Boys menjuarai liga mereka musim lalu dengan jurang yang munasabah dan mereka memulakan kempen ini dengan memenangi semua perlawanan termasuk pertandingan piala.

“Kami bercakap mengenai pasukan yang berada dalam prestasi terbaik dan akan berdepan kami dengan penuh motivasi, sama seperti pasukan lain lakukan apabila mereka menentang Manchester United.

“Ia akan menjadi permulaan yang sukar dalam Liga Juara-Juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:18 AM