NUR Atikah (tengah) bawa pulang dua emas dan catat rekod baru acara snatch kategori 63kg.
NUR Atikah (tengah) bawa pulang dua emas dan catat rekod baru acara snatch kategori 63kg.
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat


TAPAH: Atlet angkat berat Wilayah Persekutuan memperagakan kekuatan mereka apabila menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan pada hari keempat acara itu dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Atlet wanitanya, Nur Atikah Mahamad Sobri yang berumur 17 tahun mencipta kejayaan tersendiri apabila mencatat rekod baharu temasya dalam acara snatch kategori 63 kilogram (kg) dengan melakukan angkatan 82kg dan turut unggul dalam acara clean and jerk dengan jumlah angkatan 102kg.

Rekod temasya sebelum ini milik Nurul Farhanah Johari dari Kedah yang dilakukannya pada SUKMA Melaka 2010 dengan catatan 81kg (snatch) dan 101kg (clean and jerk).

MUHAMMAD ERRY HIDAYAT MUHAMMAD HIDAYAT
MUHAMMAD ERRY HIDAYAT MUHAMMAD HIDAYAT

“Ini adalah penampilan ketiga saya di SUKMA dan saya mahu tujukan kemenangan ini kepada penyokong nombor satu saya iaitu ibu bapa saya sendiri - Rohani Che Mat dan Mohd Sobri Ismail - yang tidak pernah terlepas menyaksikan saya bertanding di SUKMA.

“Kejayaan saya memecahkan rekod hari ini adalah disebabkan motivasi saya yang tinggi untuk menujukan kejayaan ini buat mereka yang banyak menyokong saya untuk terus aktif dalam sukan ini,” katanya.

Nur Atikah yang turut memenangi dua emas dalam kategori sama pada temasya di Sarawak 2016 mengakui dia mempunyai keyakinan yang tinggi dapat memecahkan rekod temasya pada hari ini.

Dalam kategori 77kg lelaki, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat, 18, turut merangkul kedua-dua emas dan turut melakar rekod baharu temasya dalam acara snatch.

Anak kepada bekas jaguh negara, Muhammad Hidayat Hamidon itu mencatatkan angkatan 166kg dalam clean and jerk serta 138kg dalam snatch untuk meleburkan rekod lama 137kg milik Loro Wellkinson Peugi dari Sabah yang dilakukannya di Sarawak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:15 PM