PEMAIN Kedah, Paulo Rangel digantung perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Paulo Rangel digantung perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Ab Aziz membuat perhitungan baharu menggantikan penyerang sensasi Paulo Rangel pada perlawanan kumpulan C Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam ini selepas pemain import itu digantung perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Azzmi, beliau resah menangani isu ini, tetapi menerima cabaran berkenaan dengan fikiran positif ketika Kedah terdesak mencari kemenangan dalam aksi kelima peringkat kumpulan C di laman sendiri.

"Rangel tidak dapat beraksi malam ini dan juga pada perlawanan menentang Kelantan pada 16 September di Kota Bharu dan sebagai jurulatih saya perlu melihat ke hadapan dan mencari peluang lain yang mampu memberi keseimbangan dari segi kekuatan yang ada dalam pasukan."

"Sandro Da Silva, Akhyar Rashid atau Andik Vermansyah mungkin antara calon yang akan ditugaskan untuk menggantikan Rangel, saya akan meneliti perkara ini.

"Saya percaya kebolehan semua pemain yang ada dan tidak timbul soal kecewa atau tidak kerana saya perlu bersiap sedia sepanjang masa untuk menghadapi sebarang situasi luar jangkaan pada musim yang kompetitif ini,” katanya.

Azzmi juga berharap pemain lain dapat terus menumpukan fokus mereka dalam perlawanan penting untuk memburu kemenangan kedua  bagi mencerahkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia kali ini.

"Saya berharap pemain gantian nanti dapat fokus kali ini. Saya menghormati JDT sebagai pasukan paling lengkap dalam Liga Malaysia namun ia bukan alasan untuk Kedah tidak boleh memenangi perlawanan pada malam ini."

Maklumat mengenai penggantungan ini dinyatakan melalui laman rasmi dan Facebook FAM yang menyatakan kesalahan berkaitan Melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM.

Keputusan itu dikenakan susulan tindakan pemain berkenaan yang menggasari penjaga gol pasukan JDT iaitu Mohd Farizal Marlias pada perlawanan Kedah menentang JDT di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 13 Julai lalu.

Selain penggantungan dalam tiga perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik, denda sebanyak RM3,000 serta amaran keras juga dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 12:52 PM