LITAR gp Jerman.
LITAR gp Jerman.
Reuters

LONDON: Grand Prix Jerman dijangka terus berada dalam kalendar Formula Satu (F1) tahun depan ketika keyakinan semakin tinggi berkenaan masa depan perlumbaan itu.

Pengarah urusan F1 Sean Bratches berkata, dia menjangka akan kekal 21 perlumbaan semusim, jumlah sama seperti tahun ini namun tidak memperincikan butiran berkenaan.

“Saya seorang yang optimis," kata Bratches. "Kami belum mengeluarkan jadual, mungkin tidak lama lagi, ketika Spa.

“Bahasa Jerman saya tidak begitu bagus, tidak mengapa tetapi perbincangan berlangsung dengan baik.”

Spa-Francorchamps menjadi tuan rumah untuk pusingan seterusnya di GP Belgium, hujung minggu ini.

Dengan tiada perlumbaan baharu sehingga tahun 2020, masa depan Jerman kekal menjadi tanda tanya dengan sirkit Hockenheim sudah terkeluar daripada kontrak selepas perlumbaan bulan lalu.

Terdapat juga perbincangan mengenai Nuerburgring bakal menggantikan Hockenheim, meskipun trek berkenaan mempunyai kesukaran daripada sudut kewangan.

Pengarah Pemasaran Hockenheim Jorn Teske memberitahu Reuters, perbincangan bersama pemegang hak komersial, Liberty Media sudah berlangsung sejak beberapa minggu lalu namun tiada kata persetujuan dimeterai lagi.

"Kami amat berharap yang kami dapat menjadi tuan rumah untuk perlumbaan seterusnya tahun depan tetapi saya tidak boleh berkata apa-apa lagi. Perbincangan masih terbuka. Kami masih sedang berbincang," kata Teske.

“Apa yang jelas kedua-dua pihak cuba mencari penyelesaian dan ini satu perkara yang sangat bagus. Ini bermakna, terdapat minat mendalam untuk F1 mengekalkan GP Jerman.“Jadi, iya, kami juga optimistik tetapi itu saja buat masa ini."

Satu perlumbaan baharu di Miami dijangka bakal diperkenalkan tahun depan tetapi ia ditunda setidak-tidaknya sehingga tahun 2020 susulan perbincangan dengan pihak tempatan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 2:44 PM