PEMAIN Spurs, Fernando Llorente (tengah) melepasi daripada kawalan Girona. FOTO/AFP
PEMAIN Spurs, Fernando Llorente (tengah) melepasi daripada kawalan Girona. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Tottenham melengkapkan kempen pramusim mereka dengan kekalahan besar apabila skuad muda tewas 1-4 kepada Girona pada perlawanan persahabatan di Sepanyol, awal pagi tadi.

Bos Spurs, Mauricio Pochettino menyenaraikan bintang Korea Selatan, Son Heung Min, namun pemain tonggak seperti Harry Kane, Hugo Lloris, Dele Alli dan Jan Vertonghen tidak beraksi.

Tottenham mendahului menerusi sepakan percuma Lucas Moura namun semuanya tidak menjadi selepas itu.

Gol Girona dijaringkan Juanpe, Anthony Lozano, Portu dan Aleix Garcia, pemain yang beraksi secara pinjaman dari Manchester City.

Spurs akan memulakan kempen liga menentang Newcastle di gelanggang lawan Sabtu ini namun Pochettino dijangka menurunkan barisan terkuatnya di St James’ Park.

Pemain Belgium, Toby Alderweireld dan Mousa Dembele turut tidak bermain di Sepanyol, begitu juga pemain England, Kieran Trippier, Eric Dier dan Danny Rose, selepas Pochettino memberikan rehat tambahan kepada pemain Piala Dunia.

Semuanya bagaimanapun dijangka kembali turun berlatih esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:42 PM