PASUKAN Ajax Amsterdam meraikan kemenangan ke atas Sturm Graz dalam aksi Liga Juara-Juara. Foto EPA
PASUKAN Ajax Amsterdam meraikan kemenangan ke atas Sturm Graz dalam aksi Liga Juara-Juara. Foto EPA
AFP

BEKAS juara Eropah, Red Star Belgrade, Ajax Amsterdam dan Celtic melangkah selesa ke pusingan kelayakan ketiga Liga Juara-Juara selepas memenangi aksi timbal balik pusingan kelayakan kedua di gelanggang lawan, hari ini.

Begitupun, kelab Switzerland, FC Basel, yang sering beraksi di peringkat kumpulan sejak beberapa musim lalu tersingkir selepas mengharungi kekalahan 0-3 di gelanggang sendiri kepada kelab PAOK.

Kekalahan memalukan itu hadir kurang seminggu selepas pemecatan bekas pengurus, Raphael Wicky.

Di Austria, penyerang veteran, Klaas-Jan Huntelaar meledak dua gol dengan Dusan Tadic turut meletakkan namanya selaku penjaring ketika Ajax menewaskan Sturm Graz 3-1 dan menang menerusi agregat 5-1.

Lawan mereka di pusingan kelayakan berikutnya ialah Standard Liege.

Satu-satunya perkara yang memalukan juara Eropah empat kali itu apabila penjaga gol mereka, Andre Onana menjaringkan gol sendiri selepas gagal mengawal bola hantaran ke belakang pada minit ke-89.

Sementara itu, gol daripada El Fardou Ben Nabouhane dan Nemanja Radonjic pada babak pertama memberikan kemenangan 2-0 buat Red Star ke atas juara Lithuania, Suduva Marijampole untuk kelab Serbia itu menang dengan agregat 5-0.

Mereka dijadualkan menentang Spartak Trnava di pusingan berikutnya.

Dalam aksi lain, keputusan seri tanpa jaringan di gelanggang Rosenborg di Norway sudah cukup buat juara Scotland, Celtic, untuk mara menerusi agregat 3-1 hasil kemenangan di gelanggang sendiri minggu lalu dan dijadual bertemu AEK Athens.

Basel yang menewaskan Manchester United ketika melangkah ke pusingan 16 terakhir musim lalu gagal mencipta kebangkitan selepas gawang mereka dibolosi Fernando Varela seawal minit ketujuh.

Mereka sekali lagi dibolosi tujuh minit memasuki babak kedua menerusi jaringan Aleksandar Prijovic sebelum Omar El Kaddouri melengkapkan gol ketiga selepas sejam perlawanan berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 8:01 AM