ABU Bakar mahu anak buahnya kekal fokus dalam saingan Piala Malaysia. FOTO/FAIL
ABU Bakar mahu anak buahnya kekal fokus dalam saingan Piala Malaysia. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menganggap pasukannya akan berdepan saingan lebih mencabar dalam kancah Piala Malaysia 2018 berbanding musim lalu.

Selepas menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman dalam aksi Liga Super malam tadi, Bakar berkata, beliau akan menggunakan segala pengalaman sepanjang perjalanan liga untuk terus fokus dalam saingan Piala Malaysia yang bermula bulan depan.

“Tahun ini kami sedikit bergelut dan berasa sedikit kekurangan apabila terpaksa menggunakan apa yang ada, ditambah dengan ketiadaan pemain import yang cedera dan perginya penyerang utama Sharel Fikri Fauzi yang mencari pengalaman untuk masa depan PKNP FC.

“Jika mengikut faktanya memang diakui sedikit sukar kerana pendedahan dalam Piala Malaysia ini akan hadir dengan corak dan suasana perlawanan berbeza dengan Liga Super yang mana usaha lebih gigih diperlukan oleh semua pemain.

“Kami harus segera membuat persediaan baik kerana ada seorang import yang masih belum pulih daripada kecederaan dan masih belum boleh beraksi hingga ke hari ini.”

Bakar mengakui skuadnya perlu bekerja lebih keras dalam saingan Piala Malaysia musim ini bagi mengatasi pencapaian musim lalu apabila mara ke suku akhir.

“Melihat kepada rekod PKNP musim lalu, kami berjaya mara hingga ke suku akhir yang mana kami memberi saingan hebat kepada pencabar dalam kumpulan dan juga berjaya meraih keyakinan dalam satu atau dua perlawanan awal.

“Namun musim ini terus terang saya cakap... sedikit sukar untuk kami kerana faktor ketidakseimbangan yang ada pada pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 2:23 PM