NIDZAM Adzha
NIDZAM Adzha
Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah meletakkan misi wajib menang pada aksi terakhir Liga Super menentang PKNP FC di Stadium Darul Aman, malam ini bagi merealisasikan peluang menduduki tangga keempat Liga Super.

Ini kerana hanya kemenangan akan meletakkan Kedah dalam ‘Balang 1’ undian Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung esok.

Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, pasukannya tidak harus melepaskan peluang mencipta kemenangan kerana pada perlawanan terakhir ini akan menentukan kedudukan Kedah di dalam liga selain menyusun strategi untuk saingan Piala Malaysia awal bulan depan.

“Misi kali ini adalah wajib menang untuk membuka peluang Kedah menamatkan saingan di tangga keempat sebagaimana pencapaian yang dilakar musim lalu.

“Dengan kedudukan keempat ini juga membolehkan kita berada dalam ‘Balang 1’ untuk undian Piala Malaysia yang akan diadakan minggu depan. Itu saja peluang yang kita ada selepas sasaran mengakhiri musim di tangga kedua dan ketiga tidak kesampaian,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan menjelang perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Darul Aman, Nidzam berkata, walaupun pelawat bakal memberi saingan sengit namun beliau berharap anak buahnya akan berjuang habis-habisan dan bangkit bagi memastikan kemenangan mampu dilakar.

“Bertemu PKNP FC pada perlawanan terakhir liga di Stadium Darul Aman bukan sesuatu yang mudah untuk kita jangkakan, namun kita sebagai tuan rumah, akan turun dan beri 100 peratus untuk mencari kemenangan.

“Dengan ketiadaan beberapa pemain utama yang masih dalam proses pemulihan, kemungkinan kita akan mengekalkan gandingan pemain muda dan senior seperti yang kita turunkan pada perlawanan menentang Perak di Ipoh, Ahad lalu.

“Kita berjaya mengutip tiga mata apabila menundukkan PKNP FC 1-0 di Pulau Pinang pada awal musim dan kita berharap dengan kesungguhan memburu kemenangan yang ditunjukkan oleh semua pemain, kita mampu mengulanginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 7:00 AM