PEMAIN pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin memanaskan badan. FOTO/FAIL
PEMAIN pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin memanaskan badan. FOTO/FAIL
Attirmidzie Rahman


KELANTAN turun ke Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos Larkin, malam esok dengan semangat tinggi untuk mengatasi juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Biarpun nampak menyukarkan skuad The Red Warriors (TRW) tetap mahu memastikan kemenangan berpihak mereka di saat tuan rumah mahu meraikan kejuaraan kali kelima dengan kemenangan.

Pengurus pasukan Kelantan, Wan Rakemi Wan Zahari, berkata pasukannya tidak mempunyai pilihan bagi menyelamatkan kedudukan daripada zon bahaya.

Katanya, perlawanan bertemu JDT itu bakal menjadi tumpuan seluruh negara apabila pasukan itu mahu meraikan dan menjulang trofi kejuaraan Liga Super musim ini sejurus tamat perlawanan.

“Perlawanan kali ini menjadi tumpuan kerana JDT mahu meraikan kejuaraan mereka kerana mahu memastikan kemenangan bergaya diperoleh bagi menggembirakan penonton yang hadir malam esok.

“Bagaimanapun misi Kelantan hanya mahu menang dalam baki perlawanan yang ada. Semua tahu kedudukan kita dalam bahaya kerana tanpa kemenangan kita tidak mampu mengubahnya.

“Saya yakin setiap pemain pasukan mempunyai semangat tinggi dan kental yang boleh menangkis kebangkitan JDT. Paling penting menghasilkan jaringan bagi memastikan tiga mata di tangan kita,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Wan Rakemi turut mengesahkan dua tonggak utama TRW, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhamad Syaiful Alias bakal diturunkan bagi memperkuatkan jentera perancang pasukan itu malam esok.

“Dalam masa sama, saya turut mengharapkan pemain ke-12 iaitu penyokong masih memberi sokongan kepada pasukan sehingga perlawanan terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 3:24 PM