ALEXIS Sanchez. Foto/REUTERS
ALEXIS Sanchez. Foto/REUTERS
Reuters

PEMAIN sayap Manchester United, Alexis Sanchez terpaksa melupakan aksi permulaan pra-musim Jelajah Amerika Syarikat kelab itu susulan masalah visa.

Jurucakap United yang sudah berasa di Los Angeles berkata United masih berharap bintang berusia 29 tahun itu dapat menyertai semula jelajah sebaik 'isu yang dikaitkan dengan masalah pentadbiran peribadi' diselesaikan.

Media Britain melaporkan bahawa Sanchez difahamkan gagal mendapat visa perjalanan ke Amerika Syarikat susulan hukuman penjara selama 16 bulan yang dikenakan mahkamah Sepanyol pada Februari lalu berikutan isu mengelak cukai.

Dia dituduh menyembunyikan wang cukai sebanyak 983,000 euro ketika beraksi buat Barcelona pada 2012 dan 2013 dengan menggunakan sebuah syarikat di Malta dan tidak menyatakan jumlah pendapatan sebenar untuk mengelak cukai.

Di bawah undang-undang Sepanyol pesalah cukai akan dihukum penjara kurang daripada dua tahun bagi setiap sabit kesalahan itu namun bagi sesiapa yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah jarang sekali dikenakan hukuman berkenaan.

BBC melaporkan bahawa Sanchez, yang menjalani latihan bersama United minggu lalu selepas cuti rehat tanpa aksi di Piala Dunia, sedang bekerja keras bersama peguamnya untuk menamatkan sekatan itu menerusi permohonan skim pengecualian.

Seluruh skuad Red Devils tanpa pemain yang beraksi di Piala Dunia, sudah bertolak ke Los Angeles semalam.

United akan memulakan aksi jelajah di AS membabitkan lima perlawanan pemanas badan berdepan pasukan dari Mexico, Club America pada Jumaat ini.

Mereka turut dijadual bertemu pasukan Major League Soccer (MLS) San Jose Earthquakes pada 22 Julai sebelum bertarung dengan AC Milan, Liverpool dan Real Madrid dalam Piala juara-Juara Antarabangsa (ICC) masing-masing pada 26 dan 28 Julai dan1 Ogos ini.

Sekiranya Sanchez gagal mendapat visa ke AS, dia hanya akan sempat beraksi dalam perlawanan pemanas badan terakhir menentang Bayern Munich pada 5 Ogos depan sebelum United membuka kempen EPL berdepan Leicester City di Old Trafford pada 10 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:14 AM