MOURINHO (kanan) risau United terpaksa memulakan kempen EPL dengan beberapa pemain masih perlu berehat kerana beraksi pada Piala  Dunia lalu. FOTO/AFP
MOURINHO (kanan) risau United terpaksa memulakan kempen EPL dengan beberapa pemain masih perlu berehat kerana beraksi pada Piala Dunia lalu. FOTO/AFP
Reuters

LOS ANGELES: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata, mereka akan memulakan cabaran Liga Perdana musim ini dengan serba kekurangan. Cuti rehat selepas tamat Piala Dunia menyebabkan dia kesuntukan masa mempersiapkan pasukan dengan skuad penuh berbanding pasukan pencabar.

United memanaskan badan bagi menghadapi musim baru dengan menyertai Kejohanan Piala Antarabangsa menentang AC Milan hari ini tanpa ramai tonggak utama.

Menurut jurulatih Portugal itu, sesi latihan tanpa skuad penuh boleh menjejaskan prestasi pasukan apabila United menentang Leicester City di tempat sendiri pada 10 Ogos dan berkunjung ke Brighton & Hove Albion (19 Ogos) dalam dua aksi pertama liga musim ini.

"Perlawanan pertama menentang Leicester dan kedua menentang Brighton. Leicester, jika saya tak silap, hanya (Harry) Maguire dan (Jamie) Vardy beraksi di peringkat akhir Piala Dunia kerana penjaga gol (Kasper) Schmeichel pulang lebih awal,” kata Mourinho kepada wartawan di UCLA.

"Jadi saya rasa, pasukan yang sudah bersama enam minggu minimum dengan semua pemain kecuali seorang pertahanan tengah dan penyerang yang menyertai mereka minggu lalu sudah cukup baik,”katanya.

"Brighton pula, saya fikir mereka tiada masalah dengan banyak aksi pramusim dan latihan.”

Pemain yang mara ke separuh akhir dan final Piala Dunia dikecualikan daripada beraksi di Piala Antarabangsa kerana mendapat cuti mandatori. Perancis menewaskan Croatia di final sementara Belgium di tempat ketiga mengatasi England.

Ini bermakna pemain tengah Perancis, Paul Pogba dan penyerang Belgium, Romelu Lukaku di antara 11 pemain senior yang tidak bersama United di Los Angeles.

"Sudah tentu aksi menentang Leicester dan Brighton tidak berapa bagus untuk kami. Mungkin selepas tiga minggu baru OK,” kata Mourinho.

"Tetapi kami perlu meraih mata dalam dua perlawanan itu dengan pemain yang ada.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 8:13 AM