LOVREN bergelut dengan penonton yang menceroboh masuk ke padang ketika aksi akhir Perancis dan Croatia. Foto/AFP
LOVREN bergelut dengan penonton yang menceroboh masuk ke padang ketika aksi akhir Perancis dan Croatia. Foto/AFP
Agensi

PEMAIN pertahanan Croatia Dejan Lovren mengutuk tindakan kumpulan pemuzik punk 'Pussy Riot' yang bertindak menceroboh padang ketika aksi final Piala Dunia.

Empat ahli kumpulan itu menceroboh ke dalam padang ketika Croatia ketinggalan 1-2 kepada Perancis di Moscow.

Pussy Riot adalah kumpulan pemuzik Punk dari Russia sebelum ini dikenali sikap anti Kremlin kerana lantang mengkritik Presiden Russia, Vladimir Putin pada 2012 sehingga mengakibatkan dua ahli kumpulan dipenjarakan hampir dua tahun.

Kumpulan itu yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki dalam satu kenyataan di Twitter mendakwa tindakan mereka itu adalah sebagai tanda bantahan kepada polisi Kremlin diketuai Putin.

Sebelum diheret keluar, seorang wanita berjaya meluru ke tengah padang dan menepuk tangan penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang melakukan percubaan seminit sebelum kejadian itu berlaku.

Lovren menolak seorang lelaki penunjuk perasaan itu untuk membantu pengawal keselamatan dan kemudian dia tidak dapat menyembunyikan kemarahan selepas pasukannya tewas 2-4.

"Saya sangat marah kerana ketika itu kami bermain dengan baik," katanya.

"Kami sedang mengatur permainan dan kemudian ada gangguan. Saya tidak berfikir panjang lalu menarik lelaki itu dan berharap dapat menghumbannya keluar dari stadium."

Dalam insiden tidak dijangka itu, seorang penunjuk perasaan dilihat meluru ke tengah padang namun kesemua mereka berjaya ditahan oleh pihak keselamatan sebelum perlawanan disambung semula selepas dihentikan selama seminit. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 12:14 PM