PUTIN harap keganasan di Gaza dapat dihentikan. -Foto EPA
PUTIN harap keganasan di Gaza dapat dihentikan. -Foto EPA
AFP

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin semalam mengharapkan keganasan di Gaza dihentikan, ketika perbincangan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerusi telefon, kata Kremlin.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan tunjuk perasaan besar-besaran di wilayah Palestin dan menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah mangsa terbunuh yang tinggi.

“Russia menekankan kepentingan menolak keganasan dan keperluan menjalankan rundingan produktif dengan matlamat mencapai hasil dipersetujui bersama berdasarkan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut Kremlin.

Dalam sidang media di Moscow, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan menggelar penunjuk perasaan yang dibunuh tentera Israel di sempadan Gaza sebagai pengganas.

“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa puluhan penduduk awam termasuk kanak-kanak dan bayi yang terbunuh dalam insiden ini sebagai pengganas,” kata Lavrov.

Penunjuk perasaan melakukan bantahan pada Isnin lalu, selepas Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis yang menyaksikan puluhan penduduk Palestin terbunuh ditembak tentera Israel.

Hamas yang memerintah Gaza berkata, kebanyakan yang terbunuh adalah ahlinya. Antara yang maut termasuk seorang bayi akibat terhidu gas pemedih mata bersama lapan kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:46 AM