ABDUL Azim (tengah) bersalaman bersama pasukan ragbi negara dalam persiapan ke Sukan Asia 2018 Jakarta dan Palembang ketika mengadakan perjumpaan di Wisma OCM. -Foto BERNAMA
ABDUL Azim (tengah) bersalaman bersama pasukan ragbi negara dalam persiapan ke Sukan Asia 2018 Jakarta dan Palembang ketika mengadakan perjumpaan di Wisma OCM. -Foto BERNAMA
Mohd Khairie Khalid

BUKIT JALIL: Semua 437 atlet daripadas 35 jenis sukan disenaraikan menyertai Sukan Asia di Indonesia, bulan depan, diwajibkan mengemukakan senarai ubat atau bahan makanan tambahan diambil dalam tempoh enam bulan sebelum ini.

Chef de Mission (CDM) ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menegaskan pendekatan itu diputuskan bersama bagi memastikan sasaran toleransi sifar dalam doping dapat dijayakan.

“Berdasarkan perbincangan, kami memutuskan untuk meminta atlet mengemukakan senarai ubat, makanan tambahan atau vitamin yang diambil dalam tempoh enam bulan lalu dan perkara ini adalah wajib.

“Selain itu kami juga akan mengadakan perjumpaan minggu depan bersama pengurus pasukan, ketua pasukan dan ADAMAS untuk menekankan mengenai toleransi sifar dalam doping dan pada masa sama mengedarkan akujanji yang perlu ditandatangani semua atlet.

“Semua atlet akan diuji sekurang-kurangnya sekali, termasuk sukan berisiko tinggi. Bagi atlet yang terbabit dengan latihan di luar negara pula, ADAMAS akan bekerjasama dengan persatuan anti doping di negara mereka berlatih itu untuk diuji. Jadi tiada siapa boleh terlepas,” kata Abdul Azim selepas Mesyuarat Penyelarasan Sukan Asia bersama ADAMAS, dekat sini, hari ini.

Abdul Azim yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan sekiranya terdapat atlet mengambil bahan terlarang seperti steroid dalam tempoh lebih enam bulan lalu, dan jika dilakukan terhadapnya positif, atlet berkenaan akan digugurkan daripada pasukan. Tiada peluang kedua diberikan selain bakal berdepan dengan perbicaraan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menegaskan pihaknya akan mengikut proses serta prosedur di luar pertandingan bagi menguji atlet yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Jelasnya, pihaknya menganggap semua jenis sukan sebagai berisiko tinggi kerana khuatir wujud sikap sambil lewa dalam kalangan atlet, sekali gus menjadi punca terjerumus kepada pengambilan bahan-bahan lain yang tidak disengajakan.

Empat tahun lalu dalam temasya di Incheon, Korea Selatan, nama Malaysia tercalar apabila Majlis Olimpik Asia (OCA) menarik balik pingat emas atlet wushu, Tai Cheau Xuen kerana didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 4:00 PM