Farah Azharie


SKUAD terjun negara kekal bersatu dan menolak tuduhan wujud ‘unsur sabotaj' selepas ke semua mereka kesal dan memohon maaf kepada orang ramai selepas video mereka mengambil minuman keras tular di laman Facebook.

Permohonan maaf itu dibuat atlet Program Podium, Chew Yiwei yang dilantik sebagai jurucakap pada sidang media di Institut Sukan Negara (ISN) bersama 14 penerjun lain yang terdiri daripada atlet senior dan remaja.

"Kami sudah berbincang bersama dan bersetuju untuk semua berhadapan dengan media dan orang ramai sebagai sebuah pasukan dan bukannya secara individu kerana kami adalah sebuah keluarga.

"Kami tidak tahu (siapa yang merakamnya), tidak elok untuk membuat spekulasi. Kami sedar kesalahan adalah tetap kesalahan dan kami memohon maaf atasnya," katanya.

Meskipun hanya tujuh atlet terbabit dalam video yang tular baru-baru ini, tetapi ke semua atlet terjun negara memilih untuk berhadapan dengan pihak media hari ini .

Selain Yiwei, pemenang 10 meter platform Siri Dunia 2017, Cheong Jun Hoong berkata, mereka yang terbabit sudah mengakui kesilapan itu.

"Mereka sudah berjanji untuk tidak mengulanginya, itu janji mereka dan sebagai atlet senior, kami akan terus memberi sokongan walau apapun yang terjadi kepada pasukan."

Isu ini mula menjadi bualan hangat pada Rabu lalu dengan klip video terbabit memaparkan tujuh atlet negara sedang berpesta sambil mengambil minuman keras dalam satu majlis yang diadakan ketika kem latihan negara bercuti selama tiga hari.

Difahamkan, video berkenaan dirakamkan pada Februari tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 7:25 PM
PENERJUN negara, Chew Yiwei bersama rakan pasukan ketika permohonan maaf secara terbuka berkaitan video yang tular di media sosial dalam sidang media yang diadakan di MSN. FOTO Bernama
PENERJUN negara, Chew Yiwei bersama rakan pasukan ketika permohonan maaf secara terbuka berkaitan video yang tular di media sosial dalam sidang media yang diadakan di MSN. FOTO Bernama