Pengesahan Bibi Ramjani mengikat pemain kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos pada 15 Jun lalu. FOTO IHSAN FB BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
Pengesahan Bibi Ramjani mengikat pemain kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos pada 15 Jun lalu. FOTO IHSAN FB BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
Attirmidzie Rahman

 

KOTA BHARU: Pemain tengah Kelantan Imran Samso yakin pemain import baharu kelahiran Brazil, Cristiano Marcolino Santos mampu mencetus impak besar kepada jentera serangan pasukan dalam perlawanan Liga Super menentang PKNS di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.

Katanya, Santos dapat memberi suntikan semangat buat rakan pasukan sekali gus membantu pasukan mencipta kemenangan.

"Pemangku jurulatih, Yusri Che Lah sudah membuat perancangan yang teliti untuk semua pemain malam esok dan dengan kehadiran Santos sedikit sebanyak dijangka mampu membantu pasukan menghadirkan kemenangan,” kata Imran.

"Umum ketahui kualiti pemain itu berdasarkan rekod lalunya dan bagi saya kehadirannya dalam pasukan tepat pada masa memandangkan pasukan kini memerlukan kemenangan bagi memastikan misi kekal dalam Liga Super.

"Pada masa sama, saya turut harapkan semua rakan sepasukan beraksi lebih baik berbanding pada aksi sebelum cuti lalu dan saya percaya semua pemain pasukan sudah bersedia beraksi malam esok."

Santos, 30, memulakan karier bersama kelab Brazil Confianca (2007) dan kelab terakhir yang diwakili adalah Hassania Agadir FC di Liga Maghribi.

Mengulas lanjut, Imran berkata pasukan masih memerlukan sentuhan penyerang import untuk bergandingan dengan penyerang tempatan muda seperti Shafiq Shaharudin.

"Iya, walaupun pasukan sudah ada penyerang berbisa dan muda tetapi pengalaman dari pemain import masih diperlukan.

"Insya-Allah kehadiran beberapa pemain import yang lain dapat membantu pasukan ini mengekalkan misi terus kekal dalam Liga Super musim depan," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 5:20 PM