ADAM (dua dari kiri) dibantu oleh pembantu litar selepas terjatuh semasa sesi kelayakan. -Foto Reuters
ADAM (dua dari kiri) dibantu oleh pembantu litar selepas terjatuh semasa sesi kelayakan. -Foto Reuters
Fadhli Ishak


PENUNGGANG Moto3 negara, Adam Norrodin terpaksa memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis, esok di petak paling belakang selepas mengharungi sesi kelayakan penuh mengecewakan, sebentar tadi.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing itu terbabit dengan insiden beramai-ramai pada penghujung sesi di Litar Le Mans tetapi bertuah tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Begitupun, masa terpantas yang dicatatnya 1 minit 43.450 saat hanya mampu meletakkannya di petak ke-28 sekali gus di kedudukan tercorot ketika catatan yang dilakukan pada sesi latihan bebas ketiga jauh lebih baik 1 minit 43.082 saat.

Adam mengakui betapa tuah tidak memihak dirinya tetapi bertekad untuk cuba menamatkan perlumbaan di kelompok pungutan mata esok.

“Kami melakukan beberapa perubahan yang positif terhadap jentera pada sesi ujian bebas ketiga. Saya gembira dengan apa yang kami lakukan dan merasa yakin,” kata Adam.

“Pada penghujung sesi kelayakan ketiga, dan permulaan sesi kelayakan, kami cuba menggunakan tayar kompaun lembut tetapi  saya tidak merasa begitu yakin jadi kami mengubahnya kepada tayar pertengahan pada pertengahan kelayakan.

“Begitupun, kepantasan menggunakan tayar pertengahan tidak cukup untuk mencabar pelumba paling pantas jadi kami mengubahnya kembali. Tetapi ia menjadi lebih teruk.

“Saya berusaha sebaik mungkin pada dua pusingan terakhir tetapi terbabit dalam kemalangan besar di selekoh enam. Jelas ia bukan posisi yang hebat tetapi saya akan bekerja keras untuk menamatkan perlumbaan di kelompok mata esok.”

Rakan sepasukan Adam, Ayumu Sasaki pula akan memulakan perlumbaan di petak ke-26 dengan petak utama menjadi milik pelumba Sepanyol, Jorge Martin. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 10:29 PM