RAFAEL NADAL
RAFAEL NADAL
AFP

RAFAEL Nadal mengalami kekalahan pertama di gelanggang tanah liat dalam tempoh hampir setahun apabila dikejutkan jaguh Austria, Dominic Thiem pada suku akhir ATP Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Selepas memenangi gelaran ke-11 di Monte Carlo dan Barcelona, Nadal yang juga pemain nombor satu dunia dan penyandang juara tewas 5-7, 3-6.

Kekalahan itu menyaksikan rekod kemenangan 50 set berturut-turut pemain dari Sepanyol itu berakhir di tangan Thiem yang juga pilihan kelima kejohanan.

Menariknya, Thiem turut menjadi pemain terakhir mengalahkan Nadal di gelanggang tanah liat tahun lalu pada Terbuka Itali iaitu genap 357 hari lalu.

Keputusan mengejutkan itu turut menyaksikan pemain Switzerland, Roger Federer akan merampas kembali kedudukan nombor satu dunia Isnin ini.

“Pemain seperti Dominic mempunyai banyak potensi. Jika dia bermain dengan amat baik, amat sukar untuk menyekatnya,” kata Nadal.

“Dia bermain dengan baik dan saya tidak. Kami tidak bermain perlawanan yang mana perbezaannya besar atau terlalu ketara. Perbezaannya amat kecil.”

Nadal yang memenangi lima gelaran di Madrid dan memburu gelaran ke-11 Terbuka Perancis bulan ini, sudah memenangi 21 perlawanan terakhir di gelanggang tanah liat.

Ia termasuk mengatasi rekod pemain legenda, John McEnroe pada 1984 dengan memenangi 49 set perlawanan di permukaan gelanggang sama.

Kemenangan itu menyaksikan Thiem yang dijadual bertemu pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson bagi memburu tempat ke final menyertai Novak Djokovic dan Gaston Gaudio dengan menjadi pemain ketiga menewaskan Nadal tiga kali di tanah liat.

“Ia memerlukan permainan yang amat baik untuk menewaskan Rafa di tanah liat. Tapi saya fikir perkara paling penting hari ini saya tampil dengan keyakinan saya mampu menewaskannya,” kata Thiem.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 7:49 AM