JALAI (kiri) dan Zulfadli. FOTO arkib NSTP
JALAI (kiri) dan Zulfadli. FOTO arkib NSTP
Helmi Talkah


DATUK Seri Jalani Sidek menyifatkan alasan bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli ketika menafikan dirinya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan mengatur perlawanan seperti melepaskan batuk di tangga.

 Bekas pakar beregu itu, berkata lebih baik pemain berusia 25 tahun itu mengaku bersalah berbanding memberikan alasan yang akhirnya memalukan diri sendiri.

 Semalam, Zulfadli menerusi sidang medianya selepas digantung 20 tahun serta didenda AS$25,000 (RM98,537) menegaskan dia menjadi mangsa penindasan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

 Katanya, perbualan menerusi Whatsapp antara dia dengan seorang lagi pemain yang turut didapati bersalah kerana mengatur perlawanan, Tan Chun Seang yang dijadikan sebagai bukti utama oleh BWF, sebenarnya adalah perbincangan mengenai penajaan dan aktiviti mereka yang mengunjungi kasino.

 "Daripada mengatakan pergi kasino, lebih baik dia mengaku bersalah. Sekurang-kurangnya apabila mengaku bersalah, orang tahu yang dia sudah sedar dengan kesilapannya dan mungkin ada pihak tampil membantu.

 "Namun, pada pendapat saya, dia hanya memburukkan lagi keadaan dengan mengakui pergi ke kasino. Saya tidak boleh terima alasan seperti ini.

 "Saya juga percaya BWF sebelum menjatuhkan hukuman, mereka pastinya sudah meneliti dan mempunyai bukti yang cukup untuk mengambil tindakan. Mereka tidak akan sewenang-wenganya menjatuhkan hukuman kerana mereka badan badminton dunia dan ada reputasi yang perlu dijaga," kata Jalani.

 Jalani turut mengingatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar berfkir 10 kali sebelum membuat keputusan membantu pemain berusia 25 tahun berkenaan.

 "KBS dan BAM perlu menilai secara menyeluruh kes ini, jangan kita silap tolong orang. Apa yang saya bimbang, apabila merayu dan pendengaran diadakan semula, situasi akan bertambah buruk kerana seperti yang saya katakan BWF pastinya sudah ada bukti kukuh," kata Jalani yang memenangi pingat gangsa Olimpik 1992 Barcelona bersama pasangannya Datuk Razif Sidek.

 Zulfadli semalam turut merayu bantuan KBS dan BAM selepas menggangap dia menjadi mangsa penindasan BWF yang menjatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh.

 Dalam pada itu, Jalani turut mencadangkan BAM supaya mewujudkan peraturan yang tidak membenarlam pemain terbabit dengan aktiviti perjudian di kasino dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman gantung.

 "Berjudi sesuatu yang tidak patut dilakukan seorang atlet atau pemain. Ia boleh mempengaruhi emosi mereka dan jika terganggu bagaimana mahu menunjukkan prestasi terbaik. Jadi, sudah tiba masanya BAM wujud peraturan bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Berita berkaitan

'Saya kenal anak saya'

'Perlawanan mana yang diatur?'

BAM pertimbang bantu Zulfadli

‘Tolonglah saya’ - Zulfadli

‘Proses rayuan sukar’

WhatsApp ‘atur perlawanan’ dibongkar

‘Beri saya masa’

BA sokong hukuman BWF

Berakhir sudah karier Zulfadli, Chun Seang

Gantung 15 dan 20 tahun...

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 9:38 PM