NEIL WARNOCK
NEIL WARNOCK
AFP

LONDON: Pengurus Cardiff, Neil Warnock meluahkan rasa bangganya di sebalik kekalahan 1-2 kelab Wales itu kepada Arsenal, pagi tadi dalam penampilan pertama sejak insiden kehilangan pesawat membawa penyerangnya, Emiliano Sala di Kepulauan Channel, minggu lalu.

Sala tidak berpeluang untuk menyarung jersi skuad dikenali Bluebirds itu selepas pesawat yang membawanya bersama juruterbang, David Ibbotson gagal dikesan dalam perjalanan ke ibu negara Wales itu pada 21 Januari lalu.

Sebelum perlawanan berlangsung, Warnock menggambarkan minggu lalu sebagai paling sukar dalam kariernya, tetapi mengakui persembahan Cardiff pada perlawanan sulung selepas mengharungi tragedi itu boleh dibanggakan.

“Saya tahu kami tewas perlawanan ini tetapi ada perkara yang lebih penting. Dalam keadaan sebegini, kami hanya bekerja mengikut sistem, untuk 24 jam, mereka tidak mampu untuk memberikan saya lebih daripada ini dan saya amat bangga menjadi pengurus mereka,” kata Warnock.

“Saya langsung tidak boleh menjelaskan bagaimana kami mengharungi minggu ini. Tetapi kamu tidak mahu bangkit daripada tidur kerana segala-galanya menyedihkan. Tiada sesiapapun boleh mengubahnya. Ia benar-benar sukar.”

Pada babak pertama, Cardiff jelas bermain lebih baik dan berpeluang untuk menjaringkan gol menerusi cubaan Bobby Decordova-Reid, tetapi berakhir hampa.

Arsenal beraksi lebih baik pada separuh masa kedua dan menang menerusi penalti Pierre-Emerick Aubameyang dan jaringan Alexandre Lacazette.

“Pada babak pertama, jika ada pasukan sepatutnya menjaringkan gol, ia adalah mereka,” kata pengurus Arsenal, Unai Emery yang turut menzahirkan rasa sedihnya terhadap insiden membabitkan Sala.

“Kami semua mengingati Emiliano Sala, keluarganya, rakan-rakannya, kelabnya ketika ini Cardiff dan bekas kelabnya, Nantes. Saya faham, ia lebih sukar buat pengurus.

“Beliau bercakap dengannya (Sala) sebelum menandatanganinya, jadi amat sukar untuk bersedia selepas menghadapi situasi ini.

“Ia perlawanan yang amat beremosi, mereka bekerja keras pada masa yang sukar dan kami hanya boleh berkata, kami sentiasa bersama mereka.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:43 AM