JELENA Ostapenko membalas pukulan Elina Svitolina. - Foto AFP
JELENA Ostapenko membalas pukulan Elina Svitolina. - Foto AFP
AFP

MIAMI: Juara bertahan Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko mengatasi pilihan keempat dari Ukraine, Elina Svitolina sekali lagi untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka WTA Miami awal pagi tadi.

Ostapenko nyata terlalu kuat buat Svitolina pada saingan 16 pemain terakhir Wimbledon tahun lalu dan ia seakan sama di gelanggang keras Miami ketika pemain pilihan keenam dari Latvia itu mara dengan kemenangan 7-6 (7/3) 7-6 (7/5).

Dia akan berdepan sama ada Venus Williams atau Danielle Collins, pemain Amerika Syarikat yang bertemu sesama sendiri pada suku akhir hari ini.

Ostapenko, 20, tersingkir pada pusingan pertama di Key Biscayne tahun lalu namun melalui musim yang hebat sejak itu, menang gelaran pertama Grand Slam di Paris dan bergerak dari kedudukan ke-64 ke tangga kelima dunia.

“Saya tahu saya perlu menjadi agresif dan apabila saya ada peluang, saya benar-benar melakukannya,” kata Ostapenko. “Saya datang ke sini tanpa apa-apa jangkaan, sama ada ia perlawanan pertama atau final, saya buat yang terbaik.”

Berdepan tekanan menjadi juara Grand Slam pada usia muda menjadi sesuatu yang tidak diambil mudah Ostapenko.

“Mempertahankan gelaran saya akan menjadi sesuatu yang istimewa dan saya tidak sabar untuk kembali ke Paris,” katanya.

“Perkara terbaik selepas kemenangan besar seperti itu ialah orang akan melayan melayan anda dengan baik dan pada sebahagian kejohanan, anda akan dapat ‘bye’ jadi ia sedikit memudahkan.

“Ia juga boleh jadi negatif kerana jika anda tersingkir awal, anda tidak bermain banyak. Saya berkedudukan 10 terbaik, jadi semua orang mahu kalahkan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 7:53 AM