ZLATAN IBRAHIMOVIC
ZLATAN IBRAHIMOVIC
Reuters

LOS ANGELES: Penyerang bintang Los Angeles Galaxy, Zlatan Ibrahimovic tidak akan menyertai skuad All-Star Liga Bolasepak Utama (MLS) menentang kelab gergasi Itali, Juventus esok, umum liga itu hari ini.

Galaxy memberikan alasan jadual padat menjadi punca pemain dari Sweden itu terpaksa menarik diri. Pasukan itu beraksi Khamis dan Ahad lalu kemudian mempunyai satu lagi perlawanan Sabtu ini.

“Saya kecewa terlepas perlawanan All-Star MLS 2018 menentang Juventus, salah satu kelab yang pernah saya sertai,” kata Ibrahimovic dalam satu kenyataan.

“Saya mahu berterima kasih kepada peminat yang mengundi saya menyertai pasukan. Fokus saya adalah untuk menjaringkan lebih banyak gol dan membantu LA Galaxy ke saingan playoff.”

Peraturan MLS menyaksikan Ibrahimovic tidak boleh beraksi Sabtu ini menentang Colorado Rapids kerana menarik diri daripada perlawanan All-Star.

Ibrahimovic sudah mencetus impak besar pada musim sulungnya bersama Galaxy apabila menyumbat 15 gol dan enam umpanan dalam 17 perlawanan.

MLS turut mengumumkan penyerang Minnesota United, Darwin Quintero dan pemain tengah New York Red Bulls, Tyler Adams disenaraikan dalam pasukan itu.

Kedua-duanya menggantikan Ibrahimovic dan penyerang New York City FC, David Villa yang mengalami kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:35 AM