BALE (kanan) hadiahkan kemenangan kepada pengurus baru Wales. -Foto Reuters
BALE (kanan) hadiahkan kemenangan kepada pengurus baru Wales. -Foto Reuters

NANNING, China: Bintang Wales, Gareth Bale meledak hatrik sekali gus muncul penjaring gol terbanyak negaranya susulan kemenangan besar 6-0 ke atas China dalam aksi Piala China, hari ini.

Kejayaan itu turut menghadiahkan pengurus baharu Wales yang juga legenda Manchester United, Ryan Giggs kemenangan pertamanya dalam kancah pengurusan di peringkat antarabangsa.

Bale yang beraksi untuk gergasi Sepanyol, Real Madrid ketika ini sudah mengumpul 29 gol dan melebihi rekod jaringan yang sebelum ini dimiliki Ian Rush.

Selepas membuka tirai jaringan seawal minit kedua, Bale menjaringkan gol keduanya pada minit ke-21 sebelum mengesahkan hatrik selepas sejam perlawanan berlangsung.

Kali terakhir pemain Wales menjaringkan hatrik ialah menerusi Robert Earnshaw ketika perlawanan menentang Scotland pada 2004 dan kali terakhir ia dilakukan di gelanggang lawan ialah menerusi Cliff Jones pada 1963 di Belfast ketika menewaskan Ireland.

“Ketika saya masih kanak-kanak, saya tidak pernah bermimpi untuk memecahkan rekod buat Wales. Ia penghormatan yang amat besar,” kata Bale.

“Saya tidak pernah memikirkannya, tetapi kini ia sudah berlaku dan ia penghormatan yang besar dan salah satu daripada perkara terbaik yang pernah saya capai dalam karier saya... dari sudut peribadi, hebat untuk memecahkan rekod, tetapi saya tidak boleh melakukannya tanpa rakan sepasukan.”

Selain Bale, penyerang Sam Vokes turut menyumbat dua gol dengan pemain sayap, Harry Wilson turut meletakkan namanya selaku penjaring.

Uruguay dan Republik Czech, dua lagi pasukan yang beraksi dalam kejohanan Piala China dijadual bertemu esok bagi merebut peluang menentang Wales di final. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:14 AM