SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kanan) bersama Kevin Ramalingam (kanan) menyampaikan sumbangan khas FAM kepada bekas pemain negara, V Krishnasamy (dua dari kiri) di Pusat Arumperumjothi Vallaral, Pulau Pinang. - Foto RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kanan) bersama Kevin Ramalingam (kanan) menyampaikan sumbangan khas FAM kepada bekas pemain negara, V Krishnasamy (dua dari kiri) di Pusat Arumperumjothi Vallaral, Pulau Pinang. - Foto RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
Rudy Syareme Sheriffudin


PEMERGIAN jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bersama penolongnya, Brad Maloney ke Madrid, Sepanyol, bermula hari ini, adalah bagi menimba ilmu demi masa depan bola sepak negara.

Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya berharap ada formula terbaru dapat di timba dari Atletico Madrid untuk diberikan kepada pemain negara sebagai persiapan Sukan Asia 2018 di Indonesia nanti.

Beliau berkata, Kim Swee mampu melakar kejayaan sebagai jurulatih tempatan paling berjaya satu hari nanti dan beliau sudah membuktikan kemampuan sebenarnya dalam Kejohanan AFC di China, bulan lalu.

"Atletico Madrid adalah destinasi tepat untuk mereka menimba ilmu selain hubungan baik Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan pihak di Sepanyol.

"Tempoh kunjungan sebulan oleh Kim Swee dan Maloney turut membabitkan beberapa program bersama pasukan kebangsaan Sepanyol," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke atas bekas pemain bola sepak negara, V Krishnasamy yang menghidap penyakit kencing manis di Pusat Arumperumjothi Vallaral, Batu Maung, pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam dan Pengerusi Pertandingan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), L Karthiresan.

Sementara itu, Hamidin menambah kejayaan sesuatu pasukan terletak pada usaha gigih dan kerjasama berpasukan pemain dalam melakar kejayaan sekali gus melonjak dan mengharumkan nama negara.

“Sokongan penuh diberikan kepada Kim Swee dan Maloney untuk menaik taraf dan mutu sukan bola sepak negara termasuk mengharapkan sokongan padu seluruh peminat bola sepak negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 7:29 PM