LEWANDOWSKI dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid. - FOTO AFP
LEWANDOWSKI dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid. - FOTO AFP
AFP

PELEDAK terbanyak Bayern Munich, Robert Lewandowski mencetus kontroversi apabila kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Penyerang dari Poland itu yang sudah menjaringkan 29 gol dalam semua kejohanan musim ini berpisah dengan ejen yang sudah bersamanya sejak 10 tahun lalu, Cezary Kucharski dan dikaitkan dengan seorang lagi ejen, Pini Zhavi.

Zhavi adalah ejen yang menjadikan perpindahan bintang Brazil, Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) yang memecah rekod dunia menjadi kenyataan.

Ejen berusia 74 tahun itu antara insan penting dalam beberapa perpindahan pemain berprofil tinggi sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan Real.

Lewandowski, 29, yang memiliki kontrak bersama Bayern sehingga 2021 dan meledak gol terbanyakdalam kempen Bundesliga setakat ini dengan 20 gol berulang kali menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan gergasi Sepanyol itu.

Bos Bayern, Jupp Heynckes ketika ditanya mengenai situasi itu berkata keputusan Lewandowski mengubah ejennya tidak mempunyai kaitan dengan perpindahan.

“Pemain dibenarkan untuk menukar ejen mereka, ia tidak bermakna apa-apa,” kata Heynckes. “Bayern mahu, dan akan mengekalkan pemain-pemain terbaik kami.”

Media di Jerman begitupun sudah dapat menghidu berita mengenai perpindahan itu dengan akhbar sukan, Bild mendakwa Lewandowski sudah pun mengadakan perbincangan dengan Real.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 11:50 PM