HOPFES (kanan) kagum dengan kesungguhan Julian. FOTO/INSTAGRAM JULIAN
HOPFES (kanan) kagum dengan kesungguhan Julian. FOTO/INSTAGRAM JULIAN
Fadhli Ishak


JURULATIH Julian Yee, Michael Hopfes mendedahkan betapa bukan mudah buat anak buahnya itu untuk menempatkan diri sebagai antara atlet luncur ais bertaraf dunia.

    Julian dan pelumba ski Alpine, Jeffrey Webb melakar namanya dalam sejarah sukan selaku warga Malaysia pertama yang layak ke temasya Olimpik Musim Sejuk yang sedang berlangsung di Pyeongchang, Korea Selatan.

    Tetapi, laluan yang perlu ditempuhi Julian sebelum berada di kedudukan sekarang, penuh dengan percikan darah, keringat dan keajaiban, kata Hopfes.

    “Kali pertama saya ke Malaysia ialah untuk mengadakan seminar enam tahun lalu dan pada pandangan pertama saya terhadap Julian, saya sedar dia seorang yang sangat berbakat,” kata bekas peluncur ais kebangsaan Jerman itu.

    “Tetapi dia hanya meluncur di tempat kecil (Sunway Pyramid) di mana dia perlu berkongsi dengan 50 peluncur sosial yang lain. Saya terfikir, bagaimana dia berlatih dalam keadaan seperti itu?

    “Biasanya di Jerman, Kanada atau Amerika Syarikat, anda akan mempunyai tempat khas yang hanya akan digunakan untuk meluncur atau hoki ais.

    “Memang sukar baginya untuk berlatih jika tempat itu penuh sesak selain gangguan muzik dari pusat membeli belah berdekatan.

    “Dia perlu bangun seawal jam 4 pagi hanya kerana mahu berada di tempat latihan sejam kemudian semata-mata mahukan keadaan lengang. Bagi saya, ia sesuatu yang sangat mencabar tetapi dia mempunyai kesungguhan tinggi.

    “Dia terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran sebelum berada di tahap sekarang apatah lagi Malaysia bukanlah negara yang terkenal dengan sukan berkaitan luncur ais.”

    Julian berpindah ke Kanada pada Ogos 2016 untuk berlatih sepenuh masa dengan Hopfes dan di sana dia didedahkan dengan kemudahan yang jauh lebih baik.

    Atlet berusia 20 tahun itu akan bertanding di pusingan pembukaan acaranya, Jumaat ini dan jika berjaya menempatkan diri dalam kalangan 24 teratas, dia akan meneruskan aksi di final, Sabtu ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 7:01 PM