MANIAM (tengah) mahu anak buah biasakan diri beraksi petang. FOTO/FAIL
MANIAM (tengah) mahu anak buah biasakan diri beraksi petang. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor


JURULATIH Selangor, P Maniam menegaskan barisan pemain The Red Giants perlu menyesuaikan diri dengan aksi waktu petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu gelanggang rasmi mereka bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Sambil menganggap ia bukan masalah besar buat pasukannya, Maniam turut berharap seluruh penyokong dapat hadir ke stadium seperti musim sebelumnya walaupun juara Piala Malaysia 33 kali itu tidak dapat beraksi waktu malam.

“Kalau boleh, sudah pasti kami nak main malam, tapi tak boleh. Jadi pemain kena sesuaikan diri beraksi di sebelah petang dan kami perlu bersedia sepenuhnya.

“Saya fikir pemain profesional dan jika berdepan masalah pun kami semua hanya perlu menukar mentaliti beraksi sebelah petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam mengesahkan pihaknya sudah menerima surat pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung kelulusan untuk beraksi di stadium berkapasiti 16,000 penonton itu.

Difahamkan, dua lagi pasukan yang turut menggunakan Stadium MPS sebagai gelanggang rasmi adalah dua pasukan Liga Perdana iaitu Kuantan FA serta UKM FC.

Sebelum ini, hasrat Selangor untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi tidak kesampaian selepas stadium berkenaan tidak boleh digunakan.

Mengulas lanjut mengenai pasukannya, Maniam turut menjelaskan beliau dalam proses membentuk beberapa pemain muda berpotensi seperti Adam Nor Azlin yang akan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

“Setakat ini, persiapan pasukan sangat baik dan semua pemain menunjukkan kesungguhan yang tinggi. Sekarang kami perlu bangunkan dua atau tiga pemain macam Adam.

“Sebagai jurulatih, saya kena lakukannya. Ramai pemain muda yang memiliki potensi besar dan perlu dibangunkan terutama Muhd Amirul Ashraf Ariffin, Tamil Maran Manimaran dan Mohd Ashmawi Md Yakin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 7:09 PM