INDRA Putra (kanan) mengekang pemain PKNS FC pada aksi pemanas badan menjelang saingan Liga Super 2018 di Stadium Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto file
INDRA Putra (kanan) mengekang pemain PKNS FC pada aksi pemanas badan menjelang saingan Liga Super 2018 di Stadium Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto file

KAPTEN Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin mengakui semakin selesa dengan ‘tugas baru’ selepas diletakkan di posisi tengah bertahan skuad The City Boys.

Jurulatih, Fabio Joaquim Maciel dilihat lebih gemar melihat bekas pemain Kelantan itu memainkan peranan di bahagian berkenaan termasuk dalam beberapa aksi persahabatan skuadnya sebelum ini.

Malah, ia berbeza dengan posisi kegemaran Indra sepanjang kerjayanya yang lebih banyak memainkan peranan di bahagian serangan.

“Saya boleh beraksi di banyak posisi dan saya sebenarnya tidak kisah diletakkan di mana-mana bahagian . Malah, sekarang ini pun saya sudah mula selesa beraksi di posisi tengah bertahan.

“Apa yang penting kami perlukan persefahaman terbaik antara semua pemain dan kami sedang berusaha menuju ke arah itu,” kata pemain veteran berusia 36 tahun itu.

Indra sah menyertai Kuala Lumpur bulan lalu dan mendapat penghormatan besar daripada jurulatih apabila dilantik sebagai kapten juara Liga Perdana musim lalu itu.

Selain itu, Indra turut yakin betapa dengan kemampuan yang ada dalam skuad The City Boys, mereka mampu menjadi antara pencabar utama Liga Super musim ini.

Katanya, walaupun dijangka berdepan pasukan lebih mantap seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah namun ia bukan alasan untuk pendatang baharu seperti Kuala Lumpur gagal memberi saingan terbaik.

“Seperti saya katakan, kami perlukan sedikit masa untuk membentuk corak permainan terbaik yang diinginkan jurulatih.

“Sudah pasti ia bukan satu tugas yang mudah (beraksi di Liga Super) dengan kebanyakan pasukan kuat. Tapi, kami juga ada kualiti dan kemampuan tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 2:03 PM