ZULFADLI membalas pukulan lawan ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Ivandi Ritan pada peringkat kumpulan Sukan Universiti Asean Singapura di Komplek Sukan Universiti SIM tahun lalu. Foto HASRIYASYAH SABUDIN
ZULFADLI membalas pukulan lawan ketika beraksi menentang pemain Indonesia, Ivandi Ritan pada peringkat kumpulan Sukan Universiti Asean Singapura di Komplek Sukan Universiti SIM tahun lalu. Foto HASRIYASYAH SABUDIN
Ferzalfie Fauzi


JUARA remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli berharap tidak lagi menjadi mangsa kecaman di sebalik keputusan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek yang enggan menagih khidmatnya menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia, bulan depan.

Zulfadli yang turut mengesahkan tidak menerima surat pelawaan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menghadapi kejohanan di Alor Setar, Kedah yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas itu menegaskan, dia tidak pernah ponteng latihan pusat jika dipanggil.

“Jadi, tolonglah jangan cakap saya banyak alasan, sombong, ego dan sebagainya. Semuanya hanya berdasarkan laporan akhbar saja.

“Sebelum ini jika BAM panggil untuk latihan pusat tidak pernah saya tidak datang. Jadi tolong cakap berdasarkan fakta. Mereka yang tidak tahu tolong jangan melatah, saya pun tidak mahu benda-benda seperti ini mengganggu fokus saya,” katanya hari ini.

Malah, pemain berusia 24 tahun itu yang pernah membarisi skuad kelayakan Piala Thomas 2016 menegaskan dia tidak akan berputus asa dengan keputusan Misbun itu, sebaliknya akan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan lagi prestasi seterusnya terpilih dalam kejohanan besar lain.

“Prinsip saya memang tidak akan menyerah kalah. Kalau ada (terpilih) memang rezeki saya, tapi jika tidak itu bukan rezeki saya,” katanya.

Semalam, Misbun menegaskan beliau tidak mempunyai rancangan untuk memanggil pemain luar termasuk Zulfadli bagi mengisi empat kuota perseorangan di Alor Setar.

Bagaimanapun, Misbun mengakui masih mengamalkan sikap terbuka untuk menerima kehadiran pemain dari luar BAM, namun apa yang membimbangkannya ialah kesanggupan pemain luar untuk bekerja keras bersama-sama dengan pemain BAM.

Skuad negara dijangka diumumkan Khamis ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) dengan Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin bakal mengisi empat kuota yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 6:11 PM