PEMAIN Harimau Malaya (jersi putih) keletihan selepas tewas kepada Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD
PEMAIN Harimau Malaya (jersi putih) keletihan selepas tewas kepada Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD
Daripada Zulfaizan Mansor di Buriram dan Thailand


PERJUANGAN Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 berkubur di bumi Buriram selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut di tangan Korea Utara di Stadium I-Mobile, sebentar tadi.

Kekalahan 1-4 itu menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada kekal di kedudukan tercorot Kumpulan B dengan mengumpul satu mata selepas lima perlawanan.

HAFIZUL (kiri) menghalang pemain Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD
HAFIZUL (kiri) menghalang pemain Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD

Malah, ia sudah pasti keputusan yang sangat mengecewakan buat Vingada yang masih gagal meraih sebarang kemenangan selepas dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya, Mei lalu.

Pada aksi sebentar tadi, Vingada melakukan kejutan apabila menyenaraikan sebahagian besar pemain muda termasuk Nor Azam Abdul Azih, Adam Nor Azlin, Safiq Ahmad dan Khairil Anuar Zamri yang kali pertama beraksi untuk skuad senior.

Harimau Malaya bagaimanapun hanya mampu bertahan selama 15 minit apabila Kim Yu Song meledak gol pertama Korea Utara selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Jong Il Gwan.

Lima minit kemudian, pintu gol Harimau Malaya bocor buat kali kedua juga menerusi Yu Song yang sekali lagi menyudahkan sepakan penjuru Il Gwan.

PEMAIN Malaysia, Kiko Insa (kiri) mengasak pemain Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD
PEMAIN Malaysia, Kiko Insa (kiri) mengasak pemain Korea Utara. FOTO/ NAIM MAHAMUD

Yu Song melengkapkan hatrik pada minit ke-44 apabila tenang menolak masuk bola hantaran Kim Yong Il sekali gus menyaksikan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy tewas buat kali ketiga.

Korea Utara meneruskan malam gemilang mereka apabila Pak Kwang Ryong menyudahkan hantaran Ri Un Chol pada minit ke-79.

Safawi Rasid yang masuk menggantikan Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-85 namun sudah terlambat untuk Harimau Malaya.

Harimau Malaya akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan berdepan Lubnan di gelanggang lawan pada 27 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:15 PM