PEMAIN terbaik akan menyertai kem latihan pusat.
PEMAIN terbaik akan menyertai kem latihan pusat.
Jumiati Rosly


KEJOHANAN Bola Jaring Kebangsaan ke-39 yang akan bermula esok bakal menjadi medan pemilihan pemain untuk menyertai kem latihan pusat pertama bagi persediaan ke Kejohanan Bola Jaring Asia di Singapura, September tahun depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata badan induk itu mahu melengkapkan senarai 25 pemain bagi menyertai kem latihan pusat di bawah kendalian jurulatih Choo Kon Lee yang akan diadakan pada 21-25 Januari.

“Justeru, Kejohanan Kebangsaan kali ini penting sebagai langkah awal kerana kami mahu mencari pemain terbaik untuk disenaraikan ke Kejohanan Asia.

“Malaysia selaku juara bertahan perlu menjuarai atau muncul naib juara bagi membolehkan kita layak secara automatik ke Piala Dunia Bola Jaring 2019 di Liverpool, United Kingdom,” katanya di sini hari ini.

Skuad bola jaring negara muncul juara Kejohanan Asia 2016 di Bangkok dan perlu membuktikan kehebatan sekali lagi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia yang diadakan empat tahun sekali. Kali terakhir negara beraksi di Piala Dunia adalah di Singapura pada 2011.

“Buat masa ini, Kon Lee akan membimbing pasukan kerana kami masih dalam proses mendapatkan jurulatih luar yang akan datang mungkin sebulan sekali seperti mana sebelum ini (jurulatih dari Australia, Tracey Robinson) apabila kita berjaya memenangi emas Sukan SEA 2017. Kita tidak boleh mendapatkan khidmat jurulatih luar sepenuh masa kerana faktor kewangan,” katanya.

Sementara itu, Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu bakal menyaksikan saingan sembilan pasukan termasuk Selangor selaku juara bertahan.

Selain Selangor, turut mengambil bahagian adalah Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kejohanan empat hari itu akan berakhir Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:49 PM