NICOL DAVID
NICOL DAVID
Devinder Singh


NICOL David membuka kempen Kejohanan Dunia dengan langkah kanan apabila menewaskan seteru lamanya, Jenny Duncalf di Manchester, semalam.

Nicol yang juga juara dunia lapan kali menundukkan Duncalf yang juga pemain nombor dua dunia 11-2, 11-7, 11-6 sekali gus mara ke pusingan kedua bertemu pemain dari Hong Kong, Annie Au esok.

Kemenangan Nicol ke atas naib juara dunia 2011 itu juga adalah kemenangan ke-40 dalam 42 pertemuan menentang pemain yang menjadi ‘musuh ketatnya’ antara tahun 2010 hingga 2012 itu.

Nicol akan meneruskan pemburuan gelaran dunia kesembilannya bertemu Au yang menumbangkan juara dunia 2007, Rachel Grinham dengan keputusan 11-3, 11-3, 11-7.

Ini adalah pertemuan ketiga Nicol dengan pemain nombor 11 dunia itu sejak Oktober lalu yang menyaksikan masing-masing memenangi satu perlawanan.

Sementara itu, hasrat bekas juara remaja dunia, Ng Eain Yow untuk mara ke undian utama perseorangan lelaki buat tahun kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila tewas 11-6, 11-3, 11-9 di tangan pilihan ketujuh, Tarek Momen.

Pemain nombor satu negara, Nafiizwan Adnan terlebih dahulu menarik diri atas urusan keluarga sementara juara kebangsaan, Ivan Yuen turut mengambil langkah sama atas faktor kesihatan.

Rachel Arnold turut berdepan nasib sama apabila disingkirkan pada pusingan pertama kelayakan perseorangan wanita di tangan naib juara remaja dunia, Hania El Hammamy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 7:24 PM